HULU TERENGGANU – Mayat reput dipercayai seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang dilaporkan hilang pada 13 Mei lalu ditemui di kawasan belukar berhampiran Kampung Tanjung Aur di sini hari ini.
Mayat Abdul Hadi Ismail, 37, ditemui dalam keadaan tertiarap di lokasi tersebut oleh seorang pencari buluh lemang pada pukul 9.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, mayat lelaki kudung kaki tangan tersebut yang dilaporkan hilang 12 hari lalu tersebut sudah berada dalam keadaan reput.
“Mayat lelaki tersebut dijumpai lengkap berpakaian dengan tangan kiri mangsa disyaki telah dimakan binatang liar dengan tulang tangan itu ditemui kira-kira 3.05 meter dari lokasi penemuan.
“Motosikal jenis Honda Dash berserta kunci, selipar dan tongkat dipercayai miliknya berada tidak jauh dari lokasi mayat dijumpai,” katanya di sini hari ini.
Lokasi penemuan mayat Abdul Hadi yang juga pengusaha kek jauh dari jalan besar dan kira-kira 15 meter dari tebing Sungai Terengganu.
Mohd. Adli berkata, mayat Abdul Hadi telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE.