PETALING JAYA – Skuad hoki lelaki negara berjaya melepasi halangan Korea Selatan dengan kemenangan 5-4 pada aksi kedua Kumpulan B saingan Piala Asia 2022 di Stadium GBK, Jakarta, Indonesia hari ini.
Kemenangan tipis itu sudah cukup buat Malaysian Tigers untuk mengesahkan slot awal ke peringkat seterusnya, Super 4 sebagai empat pasukan terbaik meskipun aksi Kumpulan B masih berbaki satu perlawanan lagi.
Dalam aksi itu, skuad negara memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila mendahului dua gol menerusi jaringan padang Norsyafiq Sumantri dan pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd. Rahim pada minit ke-11 serta 17.
Korea Selatan bagaimanapun bangkit merapatkan defisit dengan satu gol melalui Yang Ji-hyun selepas menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-25.
Ia langsung tidak menjejaskan rentak anak-anak buah Arul Selvaraj yang terus menjarakkan kedudukan dengan tambahan dua lagi gol menerusi Norsyafiq dua minit kemudian dan Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-32.
Jang Jong-hyun dan Kim Sung-hyun kembali menghidupkan perjuangan Korea Selatan dengan dua gol dalam tempoh enam minit untuk menjadikan kedudukan 4-3 pada minit ke-34 serta 40.
Razie kemudiannya membuktikan kehebatannya sebagai pakar flick dengan gol kedua peribadi untuk menjadikan kedudukan 5-3 buat skuad negara pada minit ke-52.
Biarpun Korea Selatan bangkit dengan gol keempat, sekali lagi menerusi Ji-hyun pada minit ke-56, namun ia sudah terlewat untuk menghalang kemenangan 5-4 skuad negara dalam perlawanan itu.
Malaysian Tigers yang turut menewaskan Oman 7-0 semalam, akan melengkapkan aksi Kumpulan B menentang Bangladesh pada Khamis ini. – KOSMO! ONLINE