fbpx

Kerajaan Selangor bekal 10,000 ekor ayam sehari bermula 1 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GOMBAK – Kerajaan Selangor akan membekalkan 10,000 ekor ayam sehari menerusi Program Intervensi Ehsan bagi menampung permintaan ayam di pasaran bermula 1 Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, kerajaan negeri telah bersetuju akan meneruskan program intervensi yang telah dilaksanakan pada Februari lalu sehingga Hari Raya Aidil Adha depan.

Izham melawati beberapa gerai jualan program Hari Inovasi Pertanian Selangor dan Selangor Agro Green 2022 di Pejabat Pertanian Daerah Gombak di sini hari ini.

Menurutnya, inisiatif itu akan dilaksanakan dengan kerjasama antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), dengan pembukaan sebanyak 67 outlet di seluruh negeri.

“Kita ada 67 outlet di seluruh negeri Selangor dengan pengeluaran sebanyak 4,000 ekor ayam sehari namun kita akan meningkatkan pengeluaran ayam kepada 10,000 ekor ayam mentah sehari, perkara itu masih dalam proses dan di peringkat akhir perbincangan.

“Ia bagi menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran sekarang ini, dan inisiatif itu akan bermula 1 Jun ini sehingga Aidil Adha nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program Hari Inovasi Pertanian Selangor dan Selangor Agro Green 2022 di Pejabat Pertanian Daerah Gombak di sini hari ini.

Tambah Izham, kerajaan negeri akan menyediakan dana untuk memastikan bekalan ayam itu sentiasa ada dan memastikan harga ayam dijual mengikut harga pasaran.

Sementara itu, Izham berkata, antara perancangan lain yang akan dilaksanakan ialah pengeluar-pengeluar ayam akan membaiki benih-benih makanan ayam dan juga baka ayam.

“Selain itu, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan menjadi integrasi untuk ternak dan bantu isu masalah ayam ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Izham berkata, masalah kekurangan bekalan ayam adalah disebabkan permintaan tinggi di samping pengeluaran ayam yang terhad telah menyebabkan terjadinya isu bekalan ayam.

“Keluaran ayam di negeri Selangor adalah sebanyak 14 ke 15 juta ekor bagi semusim (dua bulan).

“Namun, berdasarkan per kapita penduduk di negeri ini, kerajaan negeri memerlukan sebanyak 174 juta ekor ayam setahun atau 14.5 juta ekor sebulan untuk penduduk Selangor sahaja, jadi telah menyebabkan kita telah kekurangan bekalan sebanyak 50 peratus daripada hasil keluaran,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI