LIVERPOOL – Walaupun terpaksa akur misi quadruple musim ini sudah pun lebur, aksi dramatik dalam perlawanan terakhir untuk menentukan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) nyata melengkapkan satu lagi kisah hebat buat pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.
Manchester City pamer kebangkitan untuk mengesahkan kejuaraan biarpun Liverpool mampu mengesahkan kemenangan 3-1 ke atas Wolverhampton Wanderers, namun Klopp harus menerima hakikat pasukannya hanya mampu menamatkan saingan liga di tempat kedua.
Pengurus dari Jerman itu berkata, pencapaian untuk menamatkan musim ini di tempat kedua juga turut mencipta cerita baharu buat hidupnya.
“Tahniah kepada Man. City dan Pep Guardiola. Terima kasih Aston Villa dan Wolverhampton kerana menghadirkan aksi yang hebat. Ia bukanlah keputusan yang kami mahukan, namun segalanya agak baik untuk kami.
“Mampu meraih 92 mata nyata cukup hebat. Menamatkan musim di tempat kedua adalah cerita hidup saya dan kami tidak boleh lakukan lebih baik berbanding apa yang telah kami lakukan kali ini.
“Kami sedang mengejar pasukan terbaik di dunia dan ia sesuatu yang istimewa. Kami akan bina semula pasukan dan cuba lakukannya lagi,” katanya.
Wolves berjaya menyentap perjuangan Liverpool apabila membuka jaringan di awal perlawanan menerusi Pedro Neto, namun The Reds kembali bangkit untuk memperoleh tiga gol daripada Sadio Mane, Mohamed Salah dan Andy Robertson.
Bagaimanapun, kemenangan itu seakan terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila The Reds dijangka akan kehilangan khidmat Thiago Alcantara untuk hadapi final Liga Juara-Juara menentang Real Madrid, awal pagi Ahad ini.
Selepas mencipta bantuan gol kepada Mane, Alcantara terpaksa dikeluarkan dan Klopp juga masih belum ada gambaran tepat mengenai tahap kecederaan dialami pemain dari Sepanyol itu.
“Saya fikir dia tidak dapat bermain di perlawanan akhir nanti, tetapi saya masih tidak tahu. Namun, ia petanda yang tidak baik buat kami,” jelasnya. – AGENSI