KOTA BHARU – Seramai 12 orang pemandu bas didapati memandu melebihi had laju di negeri ini sejak Januari sehingga 10 Mei lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, kesemua pemandu bas yang dikenal pasti itu termasuk bas ekspres dan bas henti-henti telah dikenakan kompaun atas kesalahan yang dilakukan.
Katanya, siasatan mendapati, pemandu bas kebiasaannya kerap memandu melebihi had laju ketika berada di kawasan jalan lurus dan keadaan jalan yang tidak sibuk.
“Daripada 12 kompaun yang dikeluarkan, ia turut melibatkan beberapa pemandu bas ekspres yang telah mengulangi kesalahan yang sama sebanyak tujuh kali berturut-turut.
“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 43 kesalahan trafik dikesan melibatkan pemandu bas dengan 33 kesalahan pandu laju manakala selebihnya tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, memotong garisan berkembar dan terlibat dalam kemalangan,” katanya selepas Pelancaran Program Pemandu Berhemah Sani Express di Pejabat Sani Express Sdn. Bhd. di Kampung Tiong Kubang Kacang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shuhaimi berkata, memandu bas melebihi had laju merupakan satu kesalahan serius memandangkan ia melibatkan bukan sahaja pemandu kenderaan itu malah ia turut mengundang risiko kepada penumpang. – KOSMO! ONLINE