DI Kedah, pokok ketum yang paling banyak ditanam serta menjadi rebutan peniaga dan peminumnya adalah daripada jenis urat merah dan daun jambu.
Air rebusan daun ketum jenis itu lebih pekat dan ‘padu’ serta dapat memberi lebih tenaga kepada mereka untuk bekerja.
Peminum air ketum tegar mendakwa, pokok tersebut banyak ditanam di daerah Padang Terap iaitu di sekeliling rumah dan kebun termasuk yang diusahakan dalam skala besar.
“Saya juga ada tanam beberapa pokok ketum berhampiran rumah untuk kegunaan sendiri, apabila ada masa, saya rebus sendiri daun ketum,” kata seorang peminum tegar air ketum.
Katanya, terdapat pekebun mengusahakan tanaman ketum menggunakan sistem pertanian yang baik dalam skala besar.
“Kalau dahulu mereka menoreh getah dan kutip hasil sayur atau pisang, namun kini mereka tukar kepada tanaman ketum kerana lebih lumayan dan sentiasa mendapat permintaan tinggi terutama dari Thailand,” ujarnya.
Beberapa pengusaha kebun di daerah Padang Terap mengakui perkara itu kerana pokok ketum mudah dijaga selain mendapat pendapatan lebih lumayan.
Seorang penanam ketum mendakwa, dia mampu memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 dalam tempoh 45 hari.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebelum ini mendedahkan bahawa lima batang pokok ketum sahaja mampu menghasilkan pulangan sehingga RM1,500.
“Semasa jadi Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), kita membelanjakan kira-kira RM160 juta setahun bagi membantu pekebun kecil getah.
“Sekiranya kerajaan membenarkan perusahaan ketum secara sah, ia mampu mengurangkan perbelanjaan negara dan meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar,” katanya.
Berkongsi pandangan sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor turut mencadangkan kepada Kerajaan Pusat supaya menghalalkan eksport ketum ke luar negara bagi membanteras penyeludupan daun tersebut ke negara jiran.
“Mengapa kita tidak halalkan sahaja pengeksportan ketum ke negara jiran kerana mereka di sana sememangnya mengkomersialkan tanaman tersebut terutama dari segi perubatan.
“Kita tetapkanlah undang-undang tertentu bagi memastikan daun ketum tidak disalah guna,” jelasnya.
Muhammad Sanusi baru-baru ini menyatakan bahawa kertas cadangan berhubung perkara itu sudah disiapkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri untuk dibawa ke Mesyuarat Exco negeri dan seterusnya ke peringkat Kerajaan Persekutuan.
Beliau pada masa sama berkata, cadangan yang dibangkitkannya itu bukan bermaksud semua penduduk diminta untuk menanam ketum kerana tanaman sedia ada sudah banyak selain tiada lagi keputusan dibuat Kerajaan Pusat berhubung perkara tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff mencadangkan supaya aktiviti penanaman ketum dilakukan secara terkawal, ketat serta memerlukan lesen.
“Jika dilihat sekarang ini, tanam pokok ketum bukanlah satu kesalahan dan ia hanya salah jika memetik dan menjualnya.
“Jadi, kawalan ke atas penanaman daun ketum ini perlu dilakukan menerusi undang-undang atau akta khas bagi mengelak lebih ramai pekebun menukar tanaman mereka kepada ketum selepas ini,” katanya.
Tambahnya, tindakan segera perlu diambil sebelum penanaman ketum menjadi tidak terkawal seterusnya menyumbang kepada masalah penagihan.