fbpx

Cacar monyet boleh dibendung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Imej dikeluarkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit menunjukkan keadaan seorang pesakit di Republik Demokratik Congo pada tahun 1997. – AFP

GENEVA, SWITZERLAND – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa penyakit cacar monyet boleh dibendung di negara-negara luar Afrika di mana virus bagi wabak tersebut jarang dikesan, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Lebih 100 kes wabak itu telah disahkan di Eropah, Amerika dan Australia, yang menyebabkan penghidapnya mengalami demam dan ruam pada badan.

Angka itu dijangka bertambah, namun pakar-pakar berkata, risiko keseluruhan untuk menjangkiti populasi yang lebih ramai adalah amat rendah memandangkan virus itu sering dikesan di bahagian-bahagian pedalaman Afrika Tengah dan Barat.

“Ini adalah situasi yang boleh dibendung. Kami ingin menghentikan jangkitan manusia ke manusia. 

“Ia boleh dilakukan di negara-negara bukan endemik,” kata Ketua Penyakit Baru Muncul WHO, Maria Van Kerkhove dalam satu sidang akhbar kelmarin.

Beliau merujuk keadaan itu kepada kes-kes terbaharu virus cacar monyet yang menular di Eropah dan Amerika Utara dengan 16 negara luar Afrika dikesan merekodkan jangkitan.

Van Kerkhove menambah, meskipun menjadi penularan terbesar di luar Afrika dalam tempoh 50 tahun, penyakit cacar monyet tidak mudah berjangkit dalam kalangan manusia.

Pakar-pakar turut menjelaskan bahawa ancaman bagi virus itu tidak boleh dibandingkan dengan pandemik koronavirus.

“Jangkitan hanya berlaku daripada sentuhan kulit ke kulit selain kebanyakan pesakit mempunyai lebih banyak penyakit ringan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ketua Sekretariat Cacar WHO, Rosamund Lewis berkata, tiada bukti yang mengesahkan bahawa virus cacar monyet telah bermutasi.

“Virus-virus dalam kumpulan ini kebiasaannya tidak bermutasi dan lebih stabil,” jelasnya sebagai menjawab spekulasi mengenai penyebab penularan terbaharu itu. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI