fbpx

Bakal pengantin didakwa buat perniagaan pinjaman wang tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jan Wee ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang akan melangsungkan perkahwinan bulan depan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah enam tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Lee Jan Wee, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah di sebuah tempat di Jalan Wangsa Delima, Wangsa Maju di sini pada 23 Ogos 2016.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda tidak kurang daripada RM250,000 dan maksimum RM1 juta atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin menawarkan jaminan RM50,000 terhadap tertuduh berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dan menetapkan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Tarikh 27 Jun ini ditetapkan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI