PETALING JAYA – Meletakkan beberapa ciri antaranya mampu menulis puisi dan sedikit lawak, seorang lelaki telah ‘diiklankan’ oleh kawan baiknya sendiri untuk mendapatkan teman hidup.
Melalui satu perkongsian di Twitter milik @skz_ked memberitahu, lelaki tersebut merupakan kawan baiknya dan berharap ada wanita yang sudi menjadi teman hidup menjelang akhir tahun ini.
“Kawan baik saya ini sedang mencari sesiapa yang sudi kalau boleh menjelang akhir tahun ini.
“Kalau tidak menjelang tahun hadapan juga tidak apa, sesiapa yang berminat boleh hubungi untuk maklumat lanjut,” ciapnya.
Dalam pada itu, beberapa ciri lelaki tersebut yang disertakan dalam ‘iklan’ itu sudah cukup membuatkan orang ramai geli hati.
Antara ciri yang disertakan bersama lelaki yang bernama Radhi berusia 25 tahun itu adalah bakal teman hidupnya akan digelar ‘puteri’.
Antara lain adalah; boleh sedikit memasak, bukan seorang pemarah, rajin mengemas, tidak suka keluar rumah dan boleh menulis puisi.
Orang ramai yang turut melihat iklan tersebut ada yang mengeji dan ada juga yang mendoakan agar lelaki tersebut dipermudahkan jodoh.
“Sebenarnya perempuan susah dapat kalau lelaki ada kawan baik perempuan macam awak, ” ujar @mustqim.
“Semoga dipertemukan jodoh, macam pelik pula dunia sekarang, umur muda lagi tapi dah sibuk iklan diri, ” kata @epulrani. – KOSMO! ONLINE.