MELAKA – Kerajaan akan mewajibkan pemasangan Sistem Brek Antikunci atau Antilock Braking System (ABS) bagi pengeluaran motosikal baharu bersesaran 150cc.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, penambahan sistem keselamatan itu bagaimanapun akan dikuatkuasakan selepas kajian terperinci dilakukan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
Katanya, kajian itu akan dimulakan pada tahun ini dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan sebelum penguatkuasaan ABS dapat dilaksanakan dua tahun selepas tarikh dapatan data.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan satu kerjasama bersama Miros untuk melaksanakan satu kajian terperinci ke arah mewajibkan pemasangan ABS bagi enjin bersesaran 150cc dan ke atas.
“Kajian ini akan melibatkan semua pemegang taruh daripada pembuat motosikal dan wakil pengguna sebelum dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan,” katanya pada program Sambutan Ulang tahun ke-19 Miros di Makmal Pelanggaran Miros PC3 di Ayer Molek, di sini, hari ini.
Tambahnya, tempoh masa sama akan turut digunakan untuk meminda peraturan sedia ada bagi mewajibkan pemasangan ABS.
Mengulas lanjut beliau berkata, pemasangan ABS itu merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mengurangkan kes kemalangan maut iaitu 60 peratus daripadanya membabitkan penunggang motosikal.-KOSMO! ONLINE