GUA MUSANG – Tiga keluarga Orang Asli suku kaum Temiar hilang tempat berteduh selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Galang, Pos Hau di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, kejadian kira-kira pukul 6 petang itu menyebabkan dua buah rumah kayu hangus 100 peratus.
Katanya, sebuah lagi rumah penduduk musnah 25 peratus manakala sebuah balai rawatan tidak berpenghuni hanya terbakar lima peratus.
“Kita menerima panggilan pada pukul 6.36 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira dua jam kemudian.
“Kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dan kita masih menyiasat punca kejadian selain jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurutnya, bomba perlu melalui jalan balak dan ladang sebelum tiba di lokasi perkampungan Orang Asli kira-kira satu jam setengah selepas menerima panggilan kecemasan.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) daerah Gua Musang, Azman Ngadiron ketika dihubungi mengesahkan kejadian kebakaran menimpa penduduk Orang Asli itu.
Katanya, keluarga Orang Asli itu tinggal di rumah saudara mara buat sementara waktu dan bantuan segera akan diberikan kepada mereka.- KOSMO! ONLINE