fbpx

Sukan SEA: Olahraga jadi ‘lubuk emas’ di Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

TAHNIAH buat atlet-atlet olahraga negara kerana berjaya mencapai sasaran lima pingat emas yang ditetapkan pada Sukan SEA Vietnam 2021.

Secara keseluruhan, Malaysia menutup acara olahraga di Sta­dium Nasional My Dinh, Hanoi pada kedudukan keempat terbaik de­ngan keseluruhan lima emas, tiga perak dan lapan gangsa.

Bukan sahaja mencapai sasaran, malah dua rekod kebangsaan berjaya dileburkan menerusi kuartet 4×100 meter (m) lelaki dengan catatan 39.09 saat (s) dan Queenie Ting Kung Ni dalam acara baling tukul besi wanita.

Pencapaian itu dilihat agak memuaskan walaupun kejayaan yang diperoleh skuad terdahulu sewaktu Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina adalah lebih baik dengan lima pingat emas, sembilan perak dan tujuh gangsa.

Namun, pujian harus diberikan kepada 38 atlet yang terpilih beraksi sama ada dalam kategori A atau B serta barisan kejurulatihan kerana banyak aspek positif pada edisi di Vietnam kali ini.

Jika segalanya mengikut pe­rancangan, skuad olahraga negara mampu menambah tiga hingga empat pingat emas lagi tetapi tidak berlaku disebabkan beberapa kesilapan.

Antaranya kegagalan jagoan lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa dan atlet baling tukul besi, Queenie Ting yang tewas saat-saat akhir kepada lawan untuk meraih pingat perak.

Nasib malang juga menimpa pelari jarak jauh, K. Prabudass yang pastinya mampu membutir dua pingat emas tetapi gagal mengambil bahagian acara 1,500m dan 5,000m selepas dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan.

Edisi ke-31 ini turut memperlihatkan ramai atlet berpotensi untuk menaiki podium seperti Avinashwer Austin Murugan (800m), Mohd. Amirul Arif Mohd. Azri (1,500m) dan Savinder Kaur Joginder Singh (800m).

Justeru, tidak keterlaluan mengatakan sukan olahraga mampu kembali menjadi ‘lubuk emas’ buat kontinjen negara pada penganjuran Sukan SEA seterusnya di Kemboja pada 5 hingga 16 Mei tahun depan.

Jangan dilupa Malaysia masih ada pemegang rekod lompat kijang Asia Tenggara, Muhammad Hakimi Ismail dan pemenang pingat emas lompat tinggi wanita Sukan SEA Manila 2019, Yap Sean Yee.

Bekas pelari pecut kebangsaan, Nazmizan Muhammad percaya Sukan SEA Kemboja 2023 mampu membawa sinar baharu dan tidak mustahil kembali menguasai acara pecut jika sesuatu dapat dilakukan dengan segera.

Menurutnya, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) perlu berani mengeluarkan duit poket sendiri untuk memberi banyak pendedahan pertandingan antarabangsa buat kesemua atlet tidak kira senior ataupun pelapis.

“Kita tidak perlu panik lihat atlet berusia 16 tahun Thailand, Puripol Boonson menang emas 100m dan 200m dengan rekod baharu Sukan SEA. Acara pecut semuanya bergantung pada hari pertandingan kerana apa sahaja boleh terjadi.

“Bagi saya, kita tidak gagal, sebaliknya memberikan gambaran positif terhadap masa depan olahraga untuk kembali berdiri sama tinggi dengan Thailand ataupun Vietnam.

“Cumanya KOM perlu jalankan tugas. Tak boleh lagi harapkan MSN (Majlis Sukan Negara) mencari dana, tajaan atau hantar ramai atlet dalam Kategori B untuk beri pendedahan kepada ramai atlet muda,” katanya.

Tidak mustahil kem olahraga mampu membutir 10 kilauan emas di Kemboja sekali gus mengatasi pencapaian terbaik lapan emas yang dimenangi pada edisi Kuala Lumpur 2017.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI