SHAH ALAM – Sebuah pusat pelupusan sampah berteknologi tinggi yang mengubah sampah menjadi tenaga elektrik bakal dibina di Rawang.
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd. Tahir berkata, kaedah Waste To Energy (WTE) itu akan menggunakan teknologi daripada negara Jerman.
“Kita telah mengutarakan cadangan tersebut kepada kerajaan negeri setelah melihat perlu satu cara kaedah pelupusan sampah yang baharu, demi kelestarian negeri Selangor.
“Kerajaan negeri secara prinsipal telah bersetuju dengan cadangan ini, namun masih lagi banyak kerja yang perlu dilakukan bagi mereleasasikan kewujudan pusat ini seperti kajian kaedahnya, pengenalpastian kawasan sesuai bagi membangunkan pusat dan rekaannya.
“Selain itu, sesi libat urus di antara pihak berkepentingan, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut akan dilakukan selain melibatkan penduduk sekitar di kawasan yang akan dijadikan pusat itu ,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDEBWM 2022 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.
Turut hadir majlis itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han
Ramli memberitahu, pusat pelupusan itu akan memproses kira-kira 2,000 tan sampah sehari yang dapat menjana antara 36 ke 40 megawatt tenaga elektrik,
“Menerusinya, kita boleh mengurangkan lagi jumlah bilangan sampah yang ditanam pada masa akan datang.
“Kita harus bergerak ke hadapan dan menggunakan teknologi baharu pelupusan sampah yang sedia ada,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE