SEPANG – Sidang Kemuncak Islam Islam Sedunia 2022 bakal melancarkan projek khas ensiklopedia Palestin dalam usaha menangkis persepsi jahat disebar oleh pihak Barat selama ini.
Inisiatif tersebut antara 24 resolusi yang dibentangkan oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan pada hari terakhir persidangan tersebut di sini.
“Projek ini bertujuan sebagai platform antarabangsa bagi memperjelaskan segala perkara sebenar mengenai Palestin termasuk sejarah dan perkembangan semasa yang berlaku ketika ini.
“Ensiklopedia ini akan beri pencerahan secara ilmiah dengan maklumat tepat yang selama ini cuba disorok pihak pro-Zionis terutama dari rangkaian agensi media dikawal Barat,” jelasnya semalam.
Resolusi itu diserahkan oleh Pengerusi Yayasan MyAqsa, Suwardi Yaacob selaku penganjur bersama kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, ensiklopedia itu bukan sahaja menjadi wadah penyebaran maklumat tepat berhubung Palestin, bahkan membongkar kezaliman rejim Zionis sekian lama. – KOSMO! ONLINE