KUALA LUMPUR – Pemilik kediaman yang terjejas ekoran mendapan tanah di Lorong Selangat, Taman Pertama dekat sini tidak akan berpindah selagi arahan berpindah tidak dikeluarkan pihak berkuasa.
Salah seorang penduduk, Beh Yang Kheng, 70, berkata, setakat ini tiada sebarang arahan berpindah dikeluarkan pihak berkuasa.
“Selagi tiada arahan berpindah, saya dan keluarga akan terus tinggal di sini selagi mana rumah ini selamat diduduki.
“Namun begitu, jauh di sudut hati memang rasa takut dan risau jika terjadi apa-apa, lebih-lebih lagi semasa hujan lebat. Bimbang jika aliran air yang mengalir bawah tanah boleh menyebabkan mendapan teruk berlaku,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian hari ini.
Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali Ng, 67, mendakwa, kejadian mendapan menyebabkan beberapa kediaman penduduk mengalami rekahan dan retak.
“Rumah saya pun ada sedikit retak namun tidak seteruk rumah jiran yang terletak bersebelahan dengan projek pembinaan kondominium itu.
“Kejadian ini bukan baru berlaku tetapi sudah lama sejak Oktober tahun lalu dipercayai selepas kerja-kerja memasang cerucuk dijalankan pihak pemaju kondominium bersebelahan kediaman penduduk di sini,” katanya.
Ujarnya lagi, setakat ini pihak pemaju memberikan kerjasama yang baik dan penduduk sentiasa berkomunikasi dengan mereka dalam mencari jalan penyelesaian.
Terdahulu dalam kejadian semalam, sebuah rumah teres dua tingkat di Lorong Selangat, Taman Pertama, di sini roboh ekoran kejadian tanah runtuh sekitar pukul 2 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, ketika kejadian penghuni rumah teres berkenaan berjaya keluar menyelamatkan diri.
“Ekoran kejadian itu, penghuni di dua unit rumah berhampiran dengan kediaman berkenaan diarahkan berpindah dan pihak polis juga sudah memasang sawar-sawar di lokasi terbabit. Tiada mangsa dilaporkan cedera,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE