PELAKON dan juga model antarabangsa Miranda Kerr bermurah hati membantu 285 mahasiswa dari Otis College of Art and Design di Los Angeles melangsaikan hutang pinjaman pendidikan mereka.
Niat murni Kerr bersama suaminya yang juga merupakan seorang bilionair, Evan Spiegel disampaikan sendiri presiden kolej tersebut, Charles Hirschhorn dalam satu upacara konvokesyen pada 15 Mei lalu.
Dalam ucapan tersebut, Hirschhorn memaklumkan Kerr dan suaminya menyumbangkan sejumlah dana melalui tabung Dana Keluarga Spiegel untuk melangsaikan hutang pinjaman pendidikan mahasiswa kepada pelajar lulusan tahun 2022.
“Kami dengan senang hati mengumumkan bahawa Kerr dan Spiegel melalui Dana Keluarga Spiegel memberikan ‘hadiah’ terbesar dalam sejarah Otis College.
“Anda semua tidak perlu membayar pinjaman dana pendidikan kerana semuanya telah dibayar oleh mereka,” katanya.
Difahamkan juga, jumlah dana yang disumbangkan kepada kolej itu turut digunakan untuk membayar baki pinjaman pendidikan yang masih tertunggak oleh pelajar terdahulu.