TAMPIN – Seorang mekanik berdepan hukuman gantung sampai mati apabila dituduh memiliki dua jenis dadah seberat lebih sekilogram di Mahkamah Majistret Tampin, di sini, hari ini.
Mohamad Saiful Mahat, 41, berasal dari Felda Jelai, Gemas hanya mengangguk faham selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohamad Saiful.
Berdasarkan pertuduhan pertama, 17 Mei lalu kira-kira pukul 6 petang, Mohamad Saiful di sebuah bilik hotel di Tampin telah didapati mengedar dadah berbahaya jenis heroin dengan anggaran berat 1005 gram.
Manakala, bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didapati mengedar dadah berbahaya jenis syabu dengan anggaran berat 150 gram.
Tertuduh yang merupakan seorang duda dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, tertuduh berjaya ditangkap polis selepas menjadikan lokasi berkenaan sebagai transit dalam satu serbuan sempena Ops Tapis di daerah ini. – KOSMO! ONLINE