GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot penumpang yang dipandu seorang nakhoda di kedudukan 0.5 batu nautika timur Pangkalan Weld di sini semalam.
Lelaki tempatan berusia 25 tahun itu ditahan ketika dipercayai dalam perjalanan mengambil penumpang di sebuah kapal tangki yang berlabuh di perairan Pelabuhan Pulau Pinang kira-kira pukul 1.20 tengah hari.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pemeriksaan mendapati nama nakhoda bot bernombor pendaftaran PPP 02307-P itu tidak terdapat di dalam buku lesen yang dikeluarkan.
Menurutnya, lelaki terbabit disyaki telah melakukan kesalahan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal memaklumkan pertukaran nakhoda kepada pihak berkuasa.
“Bot serta nakhoda ditahan dan kemudiannya dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeri beliau menasihatkan pengusaha-pengusaha bot penumpang supaya mematuhi undang-undang yang telah dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. – KOSMO! ONLINE