PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Jepun bermula hari ini sehingga 28 Mei hadapan.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, Ismail Sabri dijadualkan bertemu dengan rakan sejawatnya di Jepun, Fumio Kishida ketika lawatan rasmi tersebut.
“Ini merupakan pertemuan bersemuka pertama antara kedua-dua pemimpin sejak menyandang jawatan pada 2021,” katanya hari ini.
Antara yang mengiringi Ismail Sabri ke Jepun termasuklah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.
Menurut Wisma Putra, pertemuan itu akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak membincangkan inisiatif dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia-Jepun yang telah lama terjalin serta kerjasama dalam pelbagai bidang.
Katanya, antara perkara-perkara utama yang akan dibincangkan termasuk memperingati Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT), pengukuhan hubungan antara rakyat, dan kerjasama pasca Covid-19.
“Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai kepentingan ketenteraman antarabangsa dan kestabilan serantau.
“Malaysia dan Jepun akan memuktamadkan Memorandum Kerjasama dalam tiga bidang melibatkan industri pesawat, pekerja mahir serta belia dan sukan,” katanya.
Pada masa sama, menurut kementerian, Perdana Menteri juga dijadualkan bertemu dengan wakil-wakil komuniti perniagaan di Tokyo.
“Selain itu, beliau juga akan turut meraikan Sambutan Hari Raya Keluarga Malaysia bersama diaspora rakyat Malaysia di Jepun. Perdana Menteri juga akan menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia di atas jemputan daripada Nikkei Inc.
“Persidangan ini merupakan perhimpunan tahunan pemimpin-pemimpin politik, ekonomi dan industri dari rantau Asia Pasifik. Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama dengan tema ‘Redefining Asia’s role in a divided world’,” katanya. – KOSMO! ONLINE