PENYIAR televisyen berbayar ternama, Astro kembali menghiasi malam minggu penonton dengan program realiti nyanyian artis popular terbaharu, Karaoke Superstar.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd. Salleh, program berkenaan memberi peluang kepada peminat untuk bertemu dengan artis kegemaran dan menyanyi bersama.
“Inspirasi program ini terhasil daripada para peminat setia yang minat berkaraoke dengan penyanyi kesayangan mereka.
“Jadi kami ingin mendekatkan mereka dari kelab peminat untuk bekerjasama menyokong dan membantu artis kegemaran dengan cara yang lebih menyeronokkan.
“Penyanyi yang muncul dalam program ini tidak akan menyanyikan lagu sendiri, tetapi nyanyian mereka dengan lagu-lagu karaoke ini adalah eksklusif,” katanya.
Tambah Norzeha, program tersebut juga diwujudkan sebagai satu penghargaan buat penyanyi yang terbabit dengan lagu-lagu malar segar mereka yang sentiasa menjadi pilihan ramai ketika berkaraoke.
“Konsep asal yang kami ingin tekankan adalah untuk mendekatkan artis dan peminat dengan cara yang lebih santai.
“Salah satu keunikan program ini adalah cabaran nyanyian artis itu bersama peminat dalam mengumpul markah daripada barisan juri.
“Kami rasa ini adalah aktiviti yang setiap peminat inginkan. Justeru, kami realisasikannya untuk anda semua,” ujarnya.
Imbau kehangatan
Pada masa sama, pihak Astro juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Aznil Nawawi dan Ain Edruce sebagai hos utama program tersebut kerana keserasian serta komitmen mereka.
“Kami berharap program ini mampu memberi keseronokan kepada semua penonton seperti mereka menikmati rancangan nyanyian yang sebelumnya seperti Big Stage dan Gegar Vaganza.
“Kami juga berharap program ini dapat membawa kembali kehangatan artis-artis yang kita gemar dengan perwatakan dan bakat mereka yang terkini, sekali gus memberi peluang kepada penonton untuk terus menyokong mereka tanpa jemu,” katanya.
Program Karaoke Superstar menampilkan juri tetap atau digelar sebagai Ratu Karok iaitu Erra Fazira dan Mas Idayu bersama seorang juri jemputan berbeza setiap minggu.
Setiap juri akan memberikan markah dalam bentuk peratus kepada penyanyi dengan pecahan markah vokal atau tempo iaitu sebanyak 40 peratus.
Sementara persembahan sebanyak 40 peratus, personaliti (10 peratus) dan bakat spontan (10 peratus) dalam setiap segmen untuk meraih gelaran pemenang pada minggu tersebut.
Antara artis yang terlibat ialah Zamani, Wany Hasrita, Tomok, Adira Suhaimi, Tajul, Amira Othman, Ezad Lazim, Ramlah Ram, Ameng Spring, Datin Alyah dan Rahmad Mega.
Turut menyertai program tersebut adalah penyanyi Ara Johari, Syamel, Liza Hanim, Muss May, Amelina, Datuk Nash, Aina Abdul, Black Hanafiah dan Jaclyn Victor.
Karaoke Superstar akan berlangsung selama 10 minggu bermula 5 Jun depan, setiap Ahad pukul 9 malam menerusi Astro Ria (saluran 104) selain boleh distrim menerusi On Demand dan aplikasi Astro Go.