IPOH – Identiti dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air di kawasan Hutan Simpan Gunung Suku, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini minggu lalu sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, anggota tubuh manusia yang dijumpai pada 16 Mei lalu milik See Su Yen, 32, manakala mayat Ng Yee Chew, 46, pula dijumpai pada Sabtu.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa akan menjalani proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini.
“Bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya ketika ditemui pada Program Derma Darah sempena Peringatan Hari Polis Ke-215 Kontinjen Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, pasukan penyelamat yang melakukan operasi pencarian telah menemukan beberapa anggota tubuh manusia dan badan dipercayai milik pendaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air di Hutan Simpan Gunung Siku.- KOSMO! ONLINE