KUCHING – Seorang budak lelaki berusia tujuh tahun yang hilang disambar buaya dalam kejadian di Kampung Nyabut, Telaga Air, di sini pada Sabtu lalu masih belum ditemui.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga sedang giat diteruskan.
“Operasi bermula pada pukul 9.10 pagi tadi dengan kekuatan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya bersama tiga buah bot.
“Usaha pencarian dijalankan sejauh lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang disambar buaya namun tiada sebarang petunjuk setakat pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, keputusan operasi SAR sama ada diteruskan hari ini atau ditangguh keesokan hari masih belum diputuskan.
Terdahulu, akhbar melaporkan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun hilang diserang buaya ketika sedang duduk di tebing sungai terbabit bersama nenek, Bibah Harup, 48, dan kakaknya.
Mangsa, Mohd. Adammi Moktar disambar buaya ketika sedang mengambil air dan terus hilang di dasar sungai dalam kejadian yang berlaku pada pukul 8.30 pagi.
Tambahnya, PGO turut menghubungi agensi Sarawak Forestry Corporation (SFC) bagi mendapatkan bantuan pasukan SWAT SFC untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat. – KOSMO! ONLINE