ALOR SETAR – Seorang ibu bersyukur apabila bayi perempuannya berusia setahun yang kritikal akibat termakan racun ketika pulang beraya di rumah neneknya di Taman PKNK di sini pada 11 Mei lalu semakin sembuh.
Menurut Nur Hidayah Azman, 28, anaknya, Ku Nur Khayla Ku Muhammad Shukri yang sebelum ini dirawat dan ditidurkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini sudah dibenarkan pulang ke rumah pada semalam.
“Saya bersyukur anak semakin sembuh dan semua racun di dalam badannya berjaya dibuang.
“Alhamdulillah, tiada sebarang kerosakan pada organ dalaman pada tubuh anak disebabkan racun tersebut,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pergerakan yang melibatkan otot-otot badan Ku Nur Khayla bagaimanapun menjadi lemah mungkin akibat anaknya ditidurkan dalam tempoh yang agak lama. – KOSMO! ONLINE