fbpx

15 ke 20 tahun lagi untuk Ukraine sertai EU- Perancis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEAUNE meramalkan bahawa penerimaan keahlian Ukraine dalam EU akan mengambil masa antara 15 hingga 20 tahun. - AFP

PARIS – Menteri Hal Ehwal Eropah Perancis, Clement Beaune memaklumkan bahawa penyertaan Ukraine dalam Kesatuan Eropah (EU) diramal berkemungkinan hanya akan berlaku dalam tempoh 15 atau 20 tahun akan datang, lapor laman berita RT, semalam.

Beaune berkata, tiada ‘jalan pintas’ oleh Ukraine untuk menyertai EU dan proses tersebut akan mengambil masa yang sangat lama.

“Kita perlu jujur. Jika kita katakan bahawa Ukraine akan sertai EU dalam tempoh enam bulan, setahun atau dua tahun akan datang, kita sebenarnya menipu.

“Ia tidak benar dan mungkin mengambil masa yang lama iaitu antara 15 hingga 20 tahun. Saya tidak mahu Ukraine berilusi atau tertipu,” jelas Beaune kepada stesen Radio J yang berpangkalan di Paris.

Beaune yang disifatkan sebagai anak didik yang dipercayai Presiden Emmanuel Macron itu dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Eropah Jumaat lalu dalam kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Elisabeth Borne.

Selain itu, beliau turut mencadangkan bahawa Ukraine harus menjadi sebahagian daripada komuniti politik EU, sekali gus mengulangi idea yang disuarakan oleh Macron.

Awal bulan lalu, Macron mengakui bahawa proses penyertaan EU oleh Ukraine mungkin mengambil masa beberapa puluh tahun.

“Walaupun kita memberikan status calon kepada Ukraine esok, kita tahu bahawa proses keahlian negara itu akan memakan masa bertahun-tahun malah beberapa dekad,” kata beliau pada sesi Parlimen Eropah di Strasbourg pada 9 Mei lalu.

Cadangan Macron bagaimanapun telah menimbulkan kemarahan pegawai tertinggi Ukraine yang menolak sebarang percubaan untuk menawarkan negara itu satu ‘keanggotaan gantian’ dan bukan keahlian penuh EU.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy turut mendakwa idea itu adalah hasil daripada tekanan Rusia. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI