PETALING JAYA – Polis sedang mengesan saksi kemalangan jalan raya melibatkan seorang lelaki tempatan di kawasan Palm Spring, Kota Damansara pada 15 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menerima laporan melibatkan mangsa yang meninggal dunia di wad kecemasan akibat kemalangan jalan raya.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku pada 14 Mei lalu kira-kira pukul 11.15 malam membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun.
“Mangsa dipercayai telah terbabas dan melanggar tembok di kiri jalan. Akibat kejadian, mangsa telah dikejarkan ke Hospital Thomson untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, pada pukul 12.21 tengah malam, mangsa telah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital terbabit.
“Polis memohon bantuan orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian untuk tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.