fbpx

Pan-gon puas hati senarai pemain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAN GON

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengesahkan tidak akan ‘kacau’ pemain skuad bawah 23 (B-23) negara dengan memberikan tumpuan penuh terhadap senarai 30 pemain yang dipanggil menjalani latihan pusat ketika ini.

Sebagai rekod, Pan-gon telah memanggil dua tambahan pemain baharu, V. Ruventhiran dari kelab Petaling Jaya (PJ City) dan pertahanan Terengganu FC (TFC), Shahrul Nizam Ros Hasni untuk melengkapkan senarai 30 pemain kelmarin.

Pengendali import dari Korea Selatan itu berkata, semua pemain skuad B-23 akan kekal bersama jurulatih, Brad Maloney selepas tamat temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi kerana akan fokus pada saingan Piala Asia B-23 di Uzbekistan pula pada bulan depan.

“Buat masa ini, saya tidak akan panggil pemain-pemain dalam skuad B-23 kerana mereka perlu menghadapi satu kejohanan yang cukup penting untuk diharungi pada bulan depan iaitu Piala Asia B-23 di Uzbekistan.

“Kami barisan kejurulatihan skuad senior menyokong penuh apa yang mereka lakukan dan lebih membuatkan saya gembira adalah kini pilihan pemain untuk diserapkan ke pasukan utama lebih senior,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Antara beberapa pemain skuad B-23 yang pernah dipanggil bersama skuad negara sebelum seperti Luqman Hakim Shamsudin, Quentin Cheng dan Mukhairi Ajmal.

Mengulas lanjut, Pan-gon mengakui berpuas hati de­ngan prestasi yang dipamerkan oleh skuad muda Harimau Malaya meskipun tewas pada aksi separuh akhir kepada tuan rumah, Vietnam dengan kekalahan 0-1, Jumaat lepas.

“Saya menyaksikan perlawanan tersebut dan mereka telah menunjukkan potensi yang baik, tetapi satu kesilapan mudah yang dilakukan telah menghukum pasukan.

“Namun, saya harap mereka belajar daripada kesilapan dan tiada guna kita memberikan tekanan kepada pasukan itu ke­rana mereka masih muda selain bukan mudah untuk bermain secara kompetitif setiap dua hari,” katanya.

Pan-gon kini sedang melakukan persiapan untuk membantu Harimau Malaya menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Brunei pada 27 Mei dan Hong Kong pada 1 Jun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI