PARIS – Sepasang kasut jenama Balenciaga yang sangat lusuh mendapat perhatian di internet kerana ditawarkan pada harga yang sangat tinggi, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.
Kasut itu ditawarkan di laman web Balenciaga dalam warna putih atau hitam pada harga AS$1,850 (RM8,119) sepasang.
Ia direka untuk kelihatan seperti kotor dan lusuh, manakala perkataan ‘Balenciaga’ tertera pada sisinya dengan gaya tulisan tangan menggunakan pen.
“Kasut ini dihasilkan menggunakan kanvas lusuh dan bahagian sisi yang kasar untuk menonjolkan rupa yang lebih buruk,” kata laman web itu.
Kasut-kasut tersebut akan dijual dalam lelongan secara online di seluruh dunia termasuk Eropah, Amerika dan Asia Barat.
Koleksi tersebut juga akan diperkenalkan di Jepun secara online ada 23 Mei ini menjelang pelancaran koleksi itu di seluruh dunia.
Syarikat fesyen Balenciaga diasaskan oleh pereka fesyen Sepanyol, Cristobal Balenciaga yang pernah mendapat pujian daripada pereka-pereka fesyen terkenal dunia termasuk Christian Dior. – Agensi