MOSCOW – Seorang lelaki Rusia memecahkan Guinness World Records dengan menarik tiga buah helikopter secara serentak tanpa bantuan sebarang peranti khas, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Sergey Agadzhanyan yang juga digelar sebagai ‘Hulk Rusia’ turut memecahkan pad pemanas perubatan semasa melakukan percubaan tersebut.
Tiga helikopter yang ditarik lelaki tersebut termasuk dua helikopter jenis Ansat dan sebuah helikopter Mi-8 dengan jumlah berat 15.6 tan.
Agadzhanyan berjaya menarik tiga helikopter itu pada jarak 4.3 meter dalam tempoh masa 24.63 saat.
Ketika percubaan memecahkan rekod tersebut, ketiga-tiga helikopter itu diletakkan selari antara satu sama lain dengan helikopter Mi-8 seberat sembilan tan berada di hadapan dua helikopter Ansat dengan berat 3.3 tan setiap satu.
Atlet itu terpaksa membuat tiga percubaan termasuk mengharungi hujan untuk menarik helikopter di jalan yang licin. Rekod itu diselia oleh ketua Persatuan Atlet Ekstrem Rusia, Vasily Grishchenko.
Acara itu berlangsung di kemudahan ujian penerbangan Helikopter Kazan yang dimiliki oleh syarikat induk helikopter Rusia, Rostec. – Agensi