MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menyeru agar anak-anak buahnya beraksi tanpa sebarang tekanan menjelang aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Aston Villa malam ini jika berhasrat untuk kekalkan kejuaraan musim ini.
Sebagai rekod, City ketika ini hanya memiliki kelebihan satu mata berbanding pencabar terdekat, Liverpool di kedudukan kedua dengan hanya kemenangan ke atas Villa boleh menjamin takhta kejuaraan untuk musim kedua berturut-turut kali ini.
Kata Guardiola, pasukannya sudah memiliki pengalaman yang cukup untuk mengatasi tekanan yang ada, tetapi dalam masa yang sama perlu berwaspada dengan ancaman yang boleh diberikan oleh skuad kendalian Steven Gerrard itu nanti.
“Sukar untuk saya mengarahkan pemain mengawal emosi mereka kerana ini hanyalah satu perlawanan bola sepak. Namun, harus diakui ini bukanlah perlawanan biasa kerana ia akan menentukan sama ada kami bergelar juara atau sebaliknya.
“Apa yang pasti, saya mahu pasukan kekal tenang dan bermain seperti kebiasaan dengan meletakkan sasaran untuk mengutip tiga mata berharga sekali gus tidak perlu risau dengan keputusan yang diraih Liverpool nanti,” katanya.
Mengulas lanjut, Guardiola mengakui turut berbangga dengan sejarah yang cuba dicipta skuad The Citizens kerana andai menang, ia akan merekodkan kejayaan menjulang trofi EPL buat kali keenam dalam tempoh 11 musim.
“Di atas kertas, memang nampak kami mendominasi saingan, tetapi kejayaan yang diraih tidak datang dengan mudah kerana semua pihak bekerja keras meneruskan legasi yang sama musim ini,” katanya. – AGENSI