fbpx

Generasi muda lebih selesa menggunakan bahasa asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shafiq dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika bergambar bersama tetamu dan peserta sempena Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma DBP di sini, hari ini. /FOTO MUHAMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dicadangkan untuk mencari satu kaedah intervensi bagi menarik minat generasi muda terhadap penggunaan Bahasa Melayu sebagai medium pengantaraan seharian.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah berkata, ini kerana terdapat golongan terbabit kini dilihat lebih selesa menggunakan bahasa asing.

“Fenomena globalisasi dan pendigitalan yang pesat telah mengubah landskap penggunaan Bahasa Melayu. Ia tidak terkecuali kepada penjawat awam terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Sehubungan itu, DBP perlu mencari mekanisma baharu bagi menarik minat kelompok tersebut untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium perantaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang bertajuk ‘Isu dan Cabaran Bahasa Melayu Abad ke-21’ di Wisma DBP, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, jelas Mohd. Shafiq, pengukuhan kedudukan Bahasa Melayu turut menyokong aspirasi Keluarga Malaysia yang menjadi agenda induk kerajaan.

“Komitmen Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam memperkukuhkan penggunaan Bahasa Melayu secara langsung dapat meningkatkan kedaulatan Bahasa Melayu dan menyempurnakan aspirasi Keluarga Malaysia.

“Justeru, JPA percaya, nilai kedaulatan ini perlu bergerak seiring dengan evolusi Bahasa Melayu dalam meningkatkan kefahaman penutur dan pendengar itu sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, Bahasa Melayu telah wujud lebih daripada 1,000 tahun dan mempunyai jutaan penutur di seluruh dunia serta mudah untuk dipelajari.

“Kita sendiri lihat bagaimana golongan pekerja asing yang datang ke negara ini telah menguasai Bahasa Melayu dalam masa yang begitu singkat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI