PETALING JAYA – Seiring usia puteri sulung, Nur Fatima Aisya yang bakal menginjak dua tahun, pelakon jelita Nur Fazura mengakui sudah bersedia hamil anak kedua hujung tahun ini.
Bagaimanapun, pemilik nama lengkap, Nur Fazura Sharifuddin itu menolak untuk hamil anak kembar sekiranya diperkenankan rezeki menimang cahaya mata berikutnya.
“Memang pun, kami (saya dan Fattah) sedang merancang untuk anak kedua. Fatima pun nak masuk usia dua tahun dah.
“Dia selalu tengok video ‘baby’ dan macam tak sabar nak jadi kakak begitu. Insya-Allah, menuju hujung tahun, kami akan adun tepung apa semualah nak letak dalam acuan dan sebagainya (untuk hamil),” katanya dalam nada sedikit seloroh kepada Kosmo! Online.
Nur Fazura, 39, ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Universal Music Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.
Jelas pengasas jenama Tudung Fazura itu lagi, dia sangat menginginkan anak lelaki.
“Mudah-mudahan nak anak lelaki. Pada masa sama, bermohon dan berdoa semoga dapat anak ketiga pula sebab nak famili yang besar.
“Kalau boleh saya tak nak kembar, sebab I don’t like twins (tak suka anak kembar). Kalau kembar, wajahnya nanti identical (sama),” ujarnya lagi.
Terdahulu, Nur Fazura dan Fattah berkahwin pada 27 November 2017 dalam satu majlis tertutup di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Hasil perkongsian hidup, pasangan selebriti ideal itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan diberi nama Nur Fatima Aisya yang dilahirkan pada 2 Oktober 2020. – KOSMO! ONLINE