AWAL minggu ini, kecoh mengenai pengacara sensasi Awal Ashaari yang dibawa ke Mahkamah Majistret, Petaling Jaya, Selangor.
Penahanan tersebut tidak lain bagi membicarakan tentang pertuduhan berkaitan dakwaan melakukan khianat merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara bulan lalu.
Cuma apa yang tidak sedap pada mata netizen terutama dalam kalangan peminat kesayangan, Awal seolah-olah dilayan seperti seorang penjenayah yang melakukan kesalahan besar hingga boleh mengundang bahaya terhadap nyawa orang awam.
Penjenayah yang dimaksudkan apabila selebriti berusia 41 tahun itu dilihat digari ketika berada di kompleks mahkamah sehingga mengundang simpati ramai.
Kalau dilihat dalam media sosial, rata-ratanya mempersoalkan kenapa tangannya perlu digari? Sedangkan keputusan mahupun hukuman mahkamah belum diputuskan.
“Hina sangatkah sampai nak gari tangan orang itu? Memang salah apa yang dibuat? Takut sangatkah dia melarikan diri dari tahanan.
“Kasihan tengok Awal kena gari. Tapi tak mengapalah, kebenaran akan tetap berpihak kepada Awal. Dah macam penjenayah pun ada juga sampai kena gari.
“Pelik betullah Malaysia ini, kenapa tangan Awal saja yang kena gari, tangan Siti Bainun kenapa tak gari juga? Tak adil betullah,” tulis netizen.
Pada masa sama, tampil menjelaskan sekali gus meleraikan persoalan ialah peguam popular yang mewakili kes Siti Bainun, Nurul Hafidzah Haasan yang menjelaskan, tatacara pengurusan orang kena tuduh (OKT) semuanya tertakluk bawah bidang kuasa pihak polis.
Katanya, polis selaku penjawat awam mempunyai pertimbangan serta prosedur operasi standard (SOP) tersendiri dalam menguruskan mana-mana suspek yang ditahan.
“Bab gari atau tidak bergantung kepada keputusan pihak polis sendiri.
“Ada juga keadaan suspek tidak digari pun, tetapi sementara menunggu wang jaminan diselesaikan, mereka (suspek) perlu digari.
“Apapun semuanya bergantung kepada bidang kuasa polis pada ketika itu dan bukan disebabkan kesalahan yang dilakukan berat atau ringan,” ujarnya.
Mengulas mengenai pendapat dan kecaman netizen yang membandingkan Awal dengan Siti Bainun yang menjadi suspek utama kes penderaan tragis kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU), Bella, Nurul Hafidzah berkata, kedua-duanya disiasat bawah akta berbeza.
“Pada asalnya kes Siti Bainun tiada reman, bermaksud dia beri kerjasama di balai polis. Dia sebenarnya ditangkap dan reman diteruskan, sebab itu tak ada keperluan untuk digari.
“Dia pun sudah bayar ikat jamin bukan sebab kesalahan itu berat atau tidak. Siti Bainun dan Awal disiasat bawah akta yang berlainan, kesemua dalam mana-mana dakwaan tertakluk kepada prosedur tertentu,” katanya.
Terdahulu, Awal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan melakukan khianat merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara bulan lalu.
Mengikut pertuduhan, bekas hos program Melodi itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan Challis Damansara dengan kerugian sebanyak RM600 di pondok pengawal perumahan itu di Jalan PJU 3/30 pukul 11.30 pagi pada 16 April lalu.
Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret Zhafran membenarkan Awal diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.