HANOI – Skuad berbasikal lebuh raya lelaki negara berjaya mengotakan janji apabila meraih ibu segala pingat dalam acara tersebut sejurus melakar kemenangan pada temasya Sukan SEA Vietnam 2021 semalam.
Gandingan pelumba muda dari Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Sapura Cycling Team (TSC) ke temasya sukan dwitahunan itu ternyata berbisa selepas menghadiahkan pingat emas menerusi Mohamad Nur Aiman Mohd. Zariff.
Meskipun perlumbaan tersebut berlangsung dalam keadaan hujan dan permukaan jalan raya yang basah, ia tidak menjadi masalah buat Nur Aiman untuk menamatkan perlumbaan sejauh 162.26 kilometer (km) sebagai juara dengan catatan 3 jam 48 minit 22 saat.
“Syukur dapat buktikan yang terbaik buat Malaysia dan akhirnya dapat hadiahkan pingat buat negara. Syukur alhamdulillah Ya Allah,” kata Nur Aiman sejurus tamat perlumbaan.
Lebih manis, ia merupakan emas ke-37 buat kontinjen Malaysia sekali gus melebihi sasaran ditetapkan pada temasya dwitahunan tersebut.
Pelumba Indonesia, Aiman Cahyadi yang dijangka memberi tentangan pada saingan tersebut terpaksa berpuas hati meraih perak dan jaguh Thailand, Navuti Liphongyu raih gangsa menerusi photo finish selepas masing-masing mengakhiri perlumbaan dengan catatan 3:48:22s.
Seorang lagi pelumba negara, Akmal Hakim Zakaria menamatkan saingan tempat keenam sementara Nur Amirull Fakhruddin, Muhammad Zawawi Azman, Muhammad Nur Aiman Rosli menduduki kedudukan ketiga terakhir.
Kontinjen Malaysia menyasarkan 36 emas pada temasya kali ini susulan beberapa sukan yang menjadi lubuk pingat negara tidak dipertandingkan pada edisi di Hanoi ini.