fbpx

Wafariena terima ugutan santau sebab Nurul Ain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NETIZEN berpuas hati dengan kesudahan hidup Nurul Ain lakonan Wafariena selepas segala perbuatan jahatnya terbongkar.

PETALING JAYA – Gara-gara keberkesanan permainan watak pemusnah rumah tangga orang dalam drama fenomena, 7 Hari Mencintaiku 3 iaitu Nurul Ain, pelakon Wafariena mendedahkan menerima ugutan santau daripada penonton taksub.

Kata Wafariena atau nama sebenarnya, Wafariena Roslan, 27, ugutan tersebut diterimanya menerusi media sosial termasuklah direct message (DM) Instagram.

“Tak tahulah nak cakap macam mana. Tapi, disebabkan Nurul Ain untuk musim ketiga ini, saya menerima bermacam-macam cacian, makian, ugutan itu ini termasuklah santau.

“Barangkali ada yang nasihatkan tak usah ambil serius dengan ugutan sebegitu (terutama santau), tapi saya perlu berjaga-jaga dan mengingatkan penonton apa yang saya paparkan menerusi watak Nurul Ain hanyalah lakonan semata-mata.

“Tolonglah jangan terbawa-bawa dalam kehidupan realiti tapi saya faham orang benci dan kecam bermakna lakonan saya dalam drama memberikan kesan. Untuk itu, saya bersyukur,” katanya kepada Kosmo! Online.

Terdahulu, watak Nurul Ain menerusi drama rantaian arahan pengarah Jamal Khan itu sekali lagi mencetuskan amarah luar biasa dalam kalangan audiens yang rata-rata mengecam karakter berkenaan yang menjadi orang tengah atau pemusnah rumah tangga Mia dan Khuzairi (lakonan Siti Saleha dan Shukri Yahaya).

Drama berkenaan telahpun menamatkan tirai menerusi episod akhir, kelmarin.

Ditanya tentang sama ada dirinya selesa melakonkan watak antagonis seperti Nurul Ain, Wafariena berkata, dia terbuka untuk melakonkan watak-watak lain selepas ini bergantung kepada tawaran dan skrip.

“Sebagai seorang pelakon yang masih baharu, saya tak kisah melakonkan watak apapun. Kalau kena dengan gaya dan skrip, saya akan menjayakan sehabis baik demi kepuasan penonton.

“Kalau ada yang masih mahukan musim selanjutnya 7 Hari Mencintaiku, itu terpulang kepada penulis skrip, Siti Rosmizah Semail. Kalau mereka panggil saya untuk watak Nurul Ain, saya bersedia pada bila-bila masa, insya-Allah,” ujar Wafariena.

Sebelum ini, anak kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang itu mendedahkan, pernah diugut netizen sehingga ingin disimbah asid pada wajah juga disebabkan karakter Nurul Ain yang tergila-gilakan Khuzairi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI