fbpx

Ribut pasir semakin mengancam kesihatan manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR pemandangan dari udara menunjukkan ribut pasir ‘menelan’ sebuah kampung di daerah Linze, wilayah Gansu di utara China pada 25 April 2021. - AFP

PARIS – Ribut pasir membadai rantau Asia Barat sejak beberapa hari lalu dalam fenomena cuaca yang menurut pakar-pakar, akan meningkat disebabkan oleh perubahan iklim dan mendatangkan risiko amat buruk terhadap kesihatan manusia.

Sekurang-kurangnya 4,000 orang di Iraq berkunjung ke hospital pada Isnin lalu kerana mengalami masalah pernafasan. Iraq dilanda lapan ribut pasir sejak pertengahan April lalu.

Angka itu tidak termasuk lebih 5,000 orang yang dirawat di hospital-hospital di negara itu untuk penyakit serupa awal bulan ini.

Fenomena itu turut melanda Iran, Kuwait, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu, manakala lebih banyak ribut pasir diramal melanda dalam masa beberapa hari akan datang.

Angin kencang meniup sejumlah besar pasir dan debu ke atmosfera, yang kemudiannya bergerak pada jarak ribuan kilometer.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) dalam amarannya menyatakan, ribut pasir menjejaskan sejumlah 150 negara dan wilayah serta memberi kesan buruk terhadap alam sekitar, kesihatan dan  ekonomi .

“Ia adalah fenomena tempatan juga global, manakala kekuatan dan kekerapannya semakin bertambah,” kata pakar ribut pasir dan debu di Pusat Pengkomputeran Besar Barcelona, Perez Garcia-Pando.

Ribut pasir berasal dari kawasan kering atau separuh kering di rantau Afrika Utara, Semenanjung Arab, Asia Tengah dan China.

Kawasan lain yang kurang terjejas termasuk Australia, Amerika dan Afrika Selatan.

WMO memberi amaran tentang ‘risiko serius’ yang dicetuskan oleh debu dan habuk bawaan udara.

Zarah debu halus boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti asma dan penyakit kardiovaskular, dan juga menyebarkan bakteria, virus,  racun perosak serta toksin lain.

“Saiz zarah habuk dan debu adalah penentu utama potensi bahaya ribut pasir terhadap kesihatan manusia,” kata WMO.

Zarah halus yang lebih kecil daripada 10 mikrometer selalunya boleh terperangkap di dalam hidung, mulut dan saluran pernafasan dan mencetuskan gangguan pernafasan seperti asma serta radang paru-paru.

Mereka yang paling berisiko adalah golongan tua dan kanak-kanak di samping mereka yang mempunyai dengan masalah pernafasan serta jantung. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI