SELEPAS lebih dua dekad bergelar pelakon dan memberi sepenuh komitmen dalam karier penuh glamor tersebut, aktres popular Lisa Surihani yang kini menyandang status datin menyatakan sudah tiba masa untuk mengubah haluan seni yang menjadi ‘cinta’ pertamanya sejak 1997.
Jika dahulu, Lisa atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed tidak berkira untuk berlama-lama di lokasi penggambaran, namun keutamaannya berubah sejak mula bergelar ibu. Bermula dengan seorang anak, Yahaira Leanne, 7, kini dua lagi amanah Ilahi, Yusof Leonne, 5, dan Yunos Laith, 10 bulan, harus ditimang sebaik-baiknya.
Tidak betah berjauhan dengan tiga orang anak, terutama si bongsu, menjadi antara faktor Lisa lebih fokus terhadap pengacaraan pada tahun ini.
“Saya memang menyampaikan hasrat kepada pihak pengurusan, jika boleh tahun ini mahu lebih fokus kepada pengacaraan.
“Biarpun masih baharu dan banyak perkara yang perlu dipelajari, saya bersyukur kerana rezeki dalam bidang pengacaraan semakin terbuka luas,” ujar Lisa memulakan bicara.
Terang Lisa, faktor lain yang membulatkan hatinya semakin serius dan jatuh cinta dengan dunia pengacaraan adalah ilmu baharu yang diperolehi daripada setiap program kendalian.
“Satu perkara yang saya suka apabila jadi pengacara ini adalah banyak manfaat yang diterima bukan sahaja penonton tetapi juga saya.
“Contohnya, sebelum ini saya mengacarakan program kesihatan, banyak informasi yang diperolehi di luar bidang saya. Perkara tersebut sangat menyegarkan minda dan diri saya selaku anak seni.
“Satu kelebihan apabila saya yang mempunyai sikap ingin tahu yang tinggi, jadi saya boleh bertanya sebarang soalan kepada panel jemputan. Bagi saya perkara itu sangat menyeronokkan,” katanya yang pernah mengacarakan program Tanya Doktor Imelda.
Lebih manis, doa Lisa untuk mengacarakan sebuah program berlunaskan agama dimakbulkan Allah, apabila dia diberi tanggungjawab untuk mengendalikan program Sakinah Mawadah Warahmah siaran Astro Oasis.
“Alhamdulillah, tahun ini doa saya termakbul apabila diberi peluang mengacarakan sebuah program berunsur agama. Saya memang sangat teruja, jika diikutkan ilmu agama memang saya jauh ketinggalan.
“Namun, menerusi program Sakinah Mawadah Warahmah, saya berpeluang belajar apabila dapat bertemu dengan orang berilmu tinggi dalam agama,” tutur Lisa.
Sungguhpun begitu, tidak bermakna isteri kepada Datuk Yusry Abdul Halim itu meletakkan titik noktah dalam lakonan biarpun pengacaraan menjadi keutamaan.
Dua hari
Jelas Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-23 menerusi filem Lagenda Budak Setan itu, dia tetap mencari ruang untuk berlakon mengikut kesesuaian keadaan dan masa.
“Saya bukanlah berhenti berlakon, cuma untuk tahun ni tawaran pengacaraan lebih banyak. Saya akan berlakon jika naskhah yang ditawarkan terlalu menarik dan keadaan mengizinkan.
“Tambahan anak-anak masih kecil terutamanya Yunos yang memerlukan lebih perhatian. Saya memang tidak mahu berjauhan dengannya terlalu lama.
“Jika tawaran lakonan yang memerlukan kerja di luar daerah, saya perlu pertimbangkan durasi masa dan lokasinya.
“Jika selama dua hari sahaja saya tiada masalah, tetapi jika lebih lama dan lokasinya sangat jauh, saya anggap bukan rezeki.
“Saya masih bimbang untuk membawa anak-anak bersama jika kerja di luar daerah. Lain orang lain pendapat, tetapi saya masih belum berani tambahan kami sekeluarga baru sahaja pulih daripada virus Covid-19 pada awal April lalu,” kata Lisa.
Post Covid
Biarpun telah pulih daripada virus berkenaan, akui Lisa, sehingga ke hari ini dia masih menghidapi masalah ‘post Covid’ yang membuatkannya cepat berasa letih.
“Kami sekeluarga telah pulih daripada virus Covid-19 pada 2 April lalu. Kesannya, saya masih batuk dan cepat berasa penat walaupun naik tangga setingkat.
“Selain itu, saya mempunyai ruam dan kabut otak (brain fog) yang membuatkan saya cepat lupa, sukar berfikir dengan pantas seperti dahulu,” kongsi Lisa.
Diuji dengan virus berkenaan, Lisa tetap bersyukur dan bersangka baik dengan perancangan Allah.
“Justeru, selepas pulih, buat pertama kalinya Lisa beristiqamah mengikuti kelas tadarus al-Quran setiap hari sepanjang Ramadan di surau kawasan perumahannya.
“Ramadan tahun ini sangat berbeza berbanding sebelum ini, kerana buat pertama kalinya saya berjaya khatam al-Quran secara berkumpulan pada 23 April lalu.
“Sebelum ini saya pernah khatam al-Quran tetapi secara bersendirian. Kali ini berbeza kerana bersama jiran-jiran dan berguru.
“Rasanya sangat berbeza, lebih manis dan cukup bermakna.
“Saya bersyukur kerana Allah pertemukan saya dengan orang yang baik-baik dan sentiasa memberi galakkan dalam ibadah. Semoga saya terus beristiqamah dengan al-Quran meski di luar bulan Ramadan,” ujar Lisa.
Demi terus istiqamah, Lisa turut mendaftar diri di kelas mengaji al-Quran secara dalam talian sebagai langkah untuk terus memperbaiki bacaannya.
Syawal sederhana
Berbicara tentang sambutan Syawal selepas dua tahun tidak dapat beraya secara ‘normal’, Lisa menyifatkan raya tahun ini seperti permulaan semula atau ‘reboot’ selepas negara sedang beralih ke fasa endemik.
Jelasnya, yang paling terasa pastilah anak-anaknya yang sebelum ini terpaksa berkurung selama dua tahun di rumah.
“Saya masih ingat dahulu semasa kes tengah tinggi, hendak beraya di rumah mentua yang tinggal bersebelahan rumah pun saya tidak berani.
“Tahun ini kita semua diberi keizinan untuk meraikan Aidilfitri, tetapi saya tetap mengamalkan sikap berhati-hati.
“Jika dahulu pada raya pertama, kami sekeluarga akan berkunjung ke banyak rumah.
“Berbeza untuk tahun ini, satu hari diperuntukkan untuk sebuah rumah sahaja. Malah, sebelum itu saya berbincang tentang masa yang sesuai dengan tuan rumah supaya tidaklah bertembung dengan orang ramai seperti rumah terbuka pula,” katanya.
Selain beraya di kediamannya yang terletak di Kajang, Selangor, Lisa juga pulang beraya di kampung sebelah Yusry di Gopeng, Perak.
Meskipun sekadar balik hari, menurut Lisa, sebagai ibu dia mahu memberi memori manis sambutan Aidilfitri kepada anak-anak.
“Selepas dua tahun raya di rumah sendiri, tahun ini saya mahu beri pengalaman berbeza kepada anak-anak. Berjumpa ramai saudara-mara dan perjalanan pulang ke kampung adalah keseronokan yang mereka perlu rasai.
“Malah, tahun ini buat pertama kalinya Yunos beraya di kampung. Walaupun dia kecil dan masih tidak faham, saya tetap mahu mencipta memori raya kami sekeluarga,” tutur Lisa.
Dalam perkembangan lain, Lisa yang turut bergelar usahawan menerusi produk penjagaan rambut jenama Suri mendedahkan, atas sambutan yang menggalakkan dia kini merancang untuk mengeluarkan lebih banyak produk bawah jenama tersebut.
“Saya bermula dengan produk penjagaan untuk rambut gugur dan sambutannya sangat baik.
“Selepas ini saya merancang untuk mengeluarkan serum rambut dan juga semburan rambut buat wanita berhijab.
“Memang terdapat cabaran dalam perniagaan, tetapi melihat pelanggan gembira dengan hasil produk Suri membuatkan saya mahu berusaha memberi yang lebih baik.
“Doakan perniagaan saya akan terus berkembang,” ujar Lisa menutup bicara.