BANGKOK – Seorang lelaki Thailand dilaporkan menikam isterinya di dalam sebuah kereta api semalam selepas mengesyaki wanita itu curang dengan lelaki lain, lapor laman berita Thaiger.
Menurut polis, mangsa iaitu Ratchanok Yimsa-ngob, 31, memutuskan untuk tinggal bersama neneknya di daerah Nakhon Ratchasima dan pasangan itu sedang menuju ke sana dengan menaiki kereta api.
Serangan berlaku kira-kira pukul 5 petang (waktu tempatan) di dalam Kereta Api Bangkok-Surin No233 ketika tren itu menghampiri stesen di Lat Bua Khao, kata timbalan ketua siasatan di Sikhiu, Leftenan Nisachon Sawasdeechai.
Ratchanok dan suaminya, Arun Parito dikatakan bergaduh sepanjang perjalanan. Saksi memberitahu polis bahawa Arun kemudian mengeluarkan pisau dari beg isterinya dan menikam mangsa dua kali di belakang dan lehernya.
Mangsa yang mengeluarkan darah kemudian jatuh dari tempat duduknya di hadapan beberapa penumpang lain.
Ratchanok masih sedar ketika anggota penyelamat memberikan pertolongan cemas sebelum memindahkannya ke Hospital Sikhiu untuk mengeluarkan pisau yang ditikam di lehernya.
Serangan itu berlaku di dalam kereta api laluan Bangkok-Surin. Kakitangan kereta api menahan Arun dan polis kemudian membawanya ke daerah Sikhiu untuk dikenakan tindakan undang-undang.
Polis berkata bahawa suspek akan didakwa atas tuduhan cuba membunuh. Arun dihadapkan ke sebuah makhamah wilayah, manakala mangsa masih kritikal setakat semalam. – Agensi