fbpx

Lagu masuk ‘neraka’ Rina Sawayama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYANYI berketurunan Jepun kelahiran England, Rina Sawayama dikatakan hanya sedang menunggu masa untuk meledak

MERUPAKAN single perdana daripada album studio terbaharunya berjudul Hold The Girl yang bakal dilancarkan pada 2 September nanti, This Hell terus membuktikan betapa komitednya figura bernama Rina Sawayama sebagai seorang penyanyi dan pemuzik.

Buat peminat dunia muzik yang masih terasa asing dengan nama Rina, wanita itu merupakan seorang pemuzik kelahiran London, England berketurunan Jepun.

Sungguh, dia tersangatlah underated, namun memiliki kualiti seni tersendiri dan hanya menunggu masa untuk meledak dalam arus perdana muzik antarabangsa.

Underated

Jika kenyaan tersebut kurang diyakini, kalian barangkali boleh meluangkan sedikit waktu menikmati karya-karya terdahulu penyanyi berusia 32 tahun itu daripada diskografi debutnya seperti Rina (2017) dan Sawayama (2020).

Menerusi This Hell yang baru diluncurkan sebagai single pertama, Rina kian memberi bukti konkrit bahawa dirinya sangat berpegang kepada nilai artistri dan berdiri dalam liga tersendiri.

Kalau muziknya dicernakan dalam bentuk fesyen, bentuk sangat bersifat futuristik dan kaya dengan elemen moden dan pada masa sama, diadun dengan ‘vibe’ lama yang mempesona.

Dari segi komposisi muzik, This Hell juga disuntik elemen rock dan pada sama tidak melupakan nilai kontemporari yang mudah disambut atau dirai para pendengar.

Petikan atau permainan gitar daripada awal karya hingga hujung ‘duduk’ pada posisi yang tepat dan membuktikan Rina juga seorang ‘rockstar’.

Lady Gaga

‘This hell is better with you’ merupakan frasa yang mudah melekat dalam minda penulis waima baru hanya sekali mendengar karya berkenaan.

Seterusnya, berkali-kali dengar dan hafal keseluruhan lagu. Itulah magis yang ditinggalkan Rina menerusi single kali ini.

Lagu berkenaan juga memberi simbolik kepada pendengar bahawa Rina sememangnya seorang peminat muzik Lady Gaga. Elemen Gaga terselit dalam banyak segmen lagu berkenaan.

Rina sememangnya seorang ‘little monster’ (peminat Gaga) sedari awal kemunculan dalam industri.

Sungguhpun begitu, Rina mempunyai identiti muzik tersendiri yang cemerlang dalam sanubari dan jiwa para peminat.

Sebagai peminat, mendengar sahaja muzik Rina, signatur muziknya langsung tidak dibayangi Gaga.

Sokongan peminat

Apa yang diharapkan daripada Rina sekarang, biarlah dia diberikan perhatian sama rata seperti penyanyi wanita lain kerana sememangnya, dia layak.

Jangan hanya disebabkan darah Asia, bakat nyanyian dan kredibiliti muziknya dibiarkan berlalu.

Jika Olivia Rodrigo yang berdarah Filipina mampu terbang tinggi, Rina juga mempunyai ruang dan peluang sama.

Sekiranya mahu terbang, dia barangkali perlu diberikan sayap dan itu bermakna di sini, sedikit sokongan daripada para peminat yang masih belum terbuka mata dengan bakat seninya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI