HULU TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil inisiatif untuk menghantar bekalan ayam segar ke lokaliti terjejas berikutan gangguan pengeluaran pada masa ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ayam segar terbabit akan diambil dari negeri-negeri yang tidak terjejas dan mempunyai lebihan bekalan.
“Kita mendapat laporan kekurangan ayam (segar) tersebut bukan semua tempat, ada (lokasi) yang lebih. Sehubungan itu, KPDNHEP akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk membawa bekalan ayam ke tempat yang mengalami kekurangan.
“Contohnya, sekiranya berlaku kekurangan di Perlis dan ada sedikit lebihan (bekalan ayam) di Pulau Pinang, kita akan menggunakan kelebihan tersebut dengan dihantar ke kawasan terjejas,” katanya ketika ditemui pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) peringkat Parlimen Hulu Terengganu di Kuala Berang di sini hari ini.
Difahamkan masalah kekurangan bekalan ayam agak meruncing di beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis sehingga merunsingkan pengguna dan menyebabkan segelintir peniaga makanan berasaskan ayam terpaksa menutup operasi buat sementara.
Rosol berkata, berdasarkan siasatan awal, masalah kekurangan bekalan ayam itu disebabkan penutupan operasi beberapa syarikat penternakan selama dua hari sehingga lusa ekoran kegagalan haiwan itu menetapi piawaian berat ditetapkan dan serangan penyakit.
Beliau berkata, tinjauan KPDNHEP dan MAFI ke ladang ternakan baru-baru ini mendapati alasan syarikat penternakan itu mempunyai asas namun siasatan lanjut sedang dilakukan. – KOSMO! ONLINE