fbpx

Jangan sensasikan soal kahwin lambat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Akad nikah membina satu ikatan yang penuh dugaan pada masa ini.
RIDZAUDDIN ROSLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

“Tahun ini aku tidak balik raya, malas nanti orang asyik tanya bila nak kahwin, aku memang tiada jawapan, penat mahu melayan ­soalan-soalan panas,” kata seorang rakan penulis baru-baru ini ketika mengatakan alasan tidak pulang beraya pada Aidilfitri lalu.

Menurut wanita itu, alasannya cuma satu, ‘trauma’ dengan pelbagai persoalan cepu emas yang sering ditanyakan orang ramai berkaitan jodohnya meskipun hal itu sering diperjelaskan sebagai rahsia Sang Pencipta, cuma kejadianya cepat atau lambat.

Sebenarnya, tanpa masyarakat sedar, soalan bila mahu kahwin yang dilontarkan sebagai cara memulakan perbualan telah memberi impak kepada sesetengah individu lebih-lebih lagi apabila pertanyaan ‘maut’ itu acap kali diperkatakan.

Mungkin bagi segelintir orang, soalan itu hanya satu pertanyaan biasa, tetapi bagi individu yang bergelut dengan situasi tersebut, ia merupakan satu bentuk ‘trauma’ memandangkan mereka tiada jawapan kukuh kepada persoalan terbabit.

Bercerita lanjut mengenai si­tuasi itu, pakar sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, orang ramai perlu memahami konsep perkahwinan secara menyeluruh di mana bukan semua individu dikurniakan peluang untuk mengecapi kebahagian melayari bahtera rumah tangga.

“Kita sedia maklum, jodoh dan ajal merupakan ketentuan Tuhan, tetapi pada masa sama setiap orang perlu berusaha keras bagi memastikan perkara itu berlaku sekali gus ­mem­bo­le­­hkan mereka hidup secara berpasangan.

“Bagaimanapun, melihat konteks pertemuan jodoh di Malaysia, membina mahligai sebuah perkahwinan bukan perkara mudah dan kita tidak boleh samakan senario hari ini dengan keadaan yang berlaku pada 40 tahun lalu,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Jelasnya, membina ikatan perkahwinan pada 40 tahun lalu mungkin tidak serumit hari ini, memandangkan zaman sekarang banyak hal perlu diperhalusi sebaiknya sebelum membuat keputusan ke arah itu.

“Sekarang ini cabarannya berbeza kerana bukan bergantung niat (mahu berkahwin) semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira pelbagai aspek lain termasuk ekonomi berikutan perkara itu boleh mempengaruhi kebahagiaan rumah tangga seseorang.

“Kalau kita lihat, kajian dijalankan menunjukkan banyak pasangan bercerai kerana mengalami masalah ekonomi. Jadi, tidak salah memantapkan soal kewangan dahulu sebelum berkahwin,” ujarnya.

Susulan itu, bagi memastikan situasi menang-menang antara kedua-dua pihak, golongan masyarakat dinasihatkan untuk meletakkan diri mereka di dalam diri individu yang masih berjuang memiliki pasangan untuk merasai kesukarannya.

“Hal berkaitan jodoh merupakan sesuatu yang sensitif kerana terjemahan seseorang terhadap perkara itu berbeza. Tidak salah untuk kita berada dalam situasi mereka dan merasakan bagaimana sukarnya berdepan keadaan tersebut.

“Paling penting, kita kena hormati kehidupan setiap orang ekoran perjalanan hidup yang dilalui adalah berbeza.

“Berikan masa untuk mereka berjuang dan pada masa sama turut mendoakan agar setiap urusan terus dipermudahkan,” katanya.

Buat mereka yang masih berjuang mendapatkan jodoh, jangan putus asa dan teruskan perjuangan anda. Satu hari nanti, kebahagian memiliki pasangan juga bakal menjadi milik kalian.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI