SEBERANG PERAI – Guru kelas kepada mangsa kemalangan maut ketika pulang dari sekolah, Nur Airis Iman terduduk sebaik mendengar berita kematian anak muridnya akibat digilis lori ketika pulang dari sekolah di Jalan Kampung Baru, Alma, Bukit Mertajam di sini kelmarin.
Guru kelas Empat Ibnu Khaldun, Sekolah Kebangsaan Alma, Latifah Saad berkata, beliau mendengar khabar sedih itu ketika mengemas bilik darjah ketika murid pulang ke rumah selepas mengadakan jamuan hari raya kelmarin.
“Saya diberitahu oleh pengawal keselamatan sekolah bahawa Nur Airis terlibat kemalangan maut. Saya terus terduduk sebaik dapat tahu hal itu, apatah lagi kami baru sahaja bergembira membuat jamuan hari raya.
“Arwah juga baru sahaja kehilangan bapanya baru-baru ini akibat Covid-19,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurut Latifah, Nur Airis, 10, yang baru dilantik sebagai pengawas sekolah pada tahun ini kelihatan begitu gembira berbanding biasa pada hari kejadian, selain kelihatan berseri-seri memakai baju raya berwarna biru.
“Memang sebelum ini arwah seorang yang ceria dan disenangi rakan sekelas, namun tidak sangka sifatnya yang begitu gembira semalam (kelmarin), ia petanda arwah akan pergi.
Berita berkaitan: Ceria sambut hari raya di sekolah sebelum maut digilis lori
“Cuma saya rasa sedikit terkilan kerana arwah ada minta saya pasangkan lagu Arjuna Beta nyayian Fynn Jamal, sebaliknya saya pasang lagu raya kerana lagu itu sedih dan tidak sesuai untuk hari raya.
“Namun, arwah dan rakan sekelas kemudiannya menyanyi sendiri beramai-ramai lagu itu sampai habis majlis,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 tengah hari kelmarin, Nur Airis yang membonceng sebuah motosikal dilaporkan terkorban di tempat kejadian selepas digilis sebuah lori.
Kejadian berlaku apabila motosikal ditunggangi ibunya hilang kawalan dan terbalik di atas jalan sebelum dia digilis lori yang datang dari arah sama ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Alma.
Ibu mangsa yang hanya cedera ringan sempat menyelamatkan diri, manakala mangsa terperosok di bawah lori berkenaan.
Sementara itu, jenazah Nur Airis selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kijang di Alma, Bukit Mertajam di sini semalam selepas disembahyangkan sejurus solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Alma.