fbpx

Dilihat bahagia, tetapi runtuh sekelip mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA pasangan selebriti luar negara yang dilaporkan bercerai secara mengejut tanpa petanda awal sedang berantakan.

TIADA pengakuan mahupun angin kontroversi yang terlebih dahulu memberi petanda, kisah perceraian pelakon berkaliber, Ellie Suriaty dengan suaminya yang juga pelakon, Azri Iskandar pada 17 Mei lalu agak mengejutkan banyak pihak.

Jarang sekali kedua-dua pasangan itu berkongsi perihal kisah rumah tangga mereka kepada umum.

Biarpun jarang dilihat bersama dalam mana-mana majlis hiburan, ramai menganggap rumah tangga yang dibina selama 19 tahun antara Ellie dan Azri baik-baik sahaja.

Paling tidak, kisah pasangan itu pernah ‘dipanaskan’ media sewaktu Azri membuat pendedahan terpaksa mendapatkan suntikan vaksin secara diam-diam tanpa pengetahuan isterinya sekitar September tahun lalu.

Selebihnya, tidak ada kedengaran langsung selama ini rumah tangga yang dibina mereka ibaratnya sudah mula ‘retak menanti belah’.

Ellie dalam satu perkongsiannya kepada media menjelaskan, mereka sudah memikirkan soal perceraian sejak empat tahun lalu sebelum memfailkan perceraian pada 22 April lalu.

Ellie menganggap apa yang berlaku sebagai takdir yang sudah tertulis. Tiada lagi persefahaman untuk mahligai yang dibina sejak tahun 2003 itu dipertahankan.

Gala minggu ini menyenaraikan beberapa selebriti yang dilaporkan bercerai secara mengejut tanpa petanda awal sedang berantakan.

Song Joong-ki dan Song Hye-kyo

PASANGAN pelakon terkenal Korea Selatan, Song Joong-ki dan Song Hye-Kyo bercerai secara baik tanpa perbalahan harta hampir tiga tahun lalu. Ketika itu, mereka baru dua tahun melayari bahtera alam rumah tangga,

Mereka bercerai dalam satu prosiding mahkamah yang dijalankan secara tertutup pada Julai 2019.

Menurut laporan media tempatan, agensi pengurusan Hye-kyo memberitahu, prosedur perceraian pasangan itu berjalan lancar tanpa sengketa.

Bagaimanapun, punca perceraian mereka tidak pernah diceritakan kepada media sehingga menimbulkan banyak tanda tanya memandangkan mereka dikenali sebagai pasangan yang romantik.

Difahamkan, Joong-ki terlebih dahulu memfailkan perceraian terhadap isterinya sebulan sebelum kedua-duanya rasmi berpisah.

Kim Kardashian dan Kanye West

PASANGAN selebriti terkenal Hollywood, Kim Kardashian dan Kanye West mengakhiri alam perkahwinan dengan perceraian walaupun telah dikurniakan empat orang cahaya mata.

Sebelum ini, hubungan mereka dan anak-anak sering dilihat berlangsung harmoni.

Biarpun Kardashian dan West pernah mengalami pergolakan rumah tangga sekitar tahun 2016, namun hubungan mereka yang keruh ketika itu kembali dijernihkan.

Sebelum berita tentang perpisahan pasangan itu tersebar, West sempat meluangkan masa mengikuti sebuah percutian keluarga di sebuah pulau ketika pandemik Covid-19 sedang melanda di seluruh dunia.

Kehancuran perkahwinan yang dibina sejak 2014 itu dikhabarkan berpunca daripada kecurangan West. Walaupun dipujuk untuk kembali, Kim dilihat sedang bermain asmara pelakon komedi, Pete Davidson.

Nindy Ayunda dan Askara Parasady Harsono

SERING dilihat romantik bahkan dianggap sebagai pasangan ideal, namun tiada siapa menyangka jika penyanyi, Nindy Ayunda sebenarnya menyimpan 1,000 luka yang dalam sepanjang menjalani kehidupan sebagai isteri kepada Askara sehingga membawa perceraian pada 12 Januari tahun lalu.

Menurut Nindy, Askara telah mencuranginya, bukan sahaja sekali, bahkan berkali-kali.

Ketika proses perceraian dijalankan di mahkamah, pelantun lagu Badai Pasti Berlalu itu turut menyertakan beberapa bukti-bukti kecurangan suaminya kepada pihak hakim.

Gara-gara sering diperbodohkan suami, selebriti berusia 33 tahun itu akhirnya tekad untuk hidup sendiri, sekali gus menamatkan kehidupan rumah tangga yang sudah terbina selama 10 tahun.

Aamir Khan dan Kiran Rao

Pada tanggal 3 Julai 2021, pelakon Bollywood terkenal Aamir Khan membuat pengumuman mengejutkan dunia apabila mendedahkan dia telah sah bercerai dengan isterinya, penerbit Kiran Rao selepas 15 tahun hidup bersama.

Aamir membuat pengumuman itu dalam satu sidang media dan memberitahu mereka sudah lama merancang untuk berpisah.

Ujar aktor berusia 57 tahun itu, perpisahan adalah jalan terbaik yang difikirkan bersama isteri untuk membawa haluan kehidupan yang lebih baik.

Biarpun tidak lagi bergelar suami isteri, Aamir dan Kiran masing-masing mengakui menjalani alam perkahwinan selama 15 tahun yang indah bersama-sama atas dasar cinta.

Bahkan, pasangan itu juga sepakat untuk terus bersama-sama menjalankan tanggungjawab terhadap anak mereka, Azad Rao yang kini berusia 12 tahun.

Aamir dan Kiran bertemu buat pertama kali sewaktu set penggambaran filem Lagaan. Ketika itu, isterinya bertugas sebagai penolong pengarah.

Pasangan ini berkahwin pada 28 Disember 2005 dan mendapat cahaya mata pertama, Azad Rao Khan pada 2011.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI