PETALING JAYA – Seorang doktor perubatan, Dr. Shazwanie Azeera berkongsi cerita mengenai seorang bayi yang baru sahaja dilahirkan telah meninggal dunia selepas sejam akibat jangkitan kuman Group B Streptococcus (GBS).
Menerusi perkongsian video di TikTok beliau, Dr. Shazwanie Azeera memaklumkan setiap manusia termasuk lelaki dan perempuan sememangnya mempunyai kuman GBS, bagaimanapun, ia tidak berisiko kepada golongan dewasa.
Namun, sekiranya bakteria tersebut menjangkiti bayi sama ada sebelum atau selepas dilahirkan, keadaan boleh menjadi parah.
Dalam video yang dimuat naik itu, beliau menceritakan detik seorang bayi yang secara tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas ketika sedang menyusu badan dengan ibunya.
“Ibu muda baru bersalin anak pertama, dan selepas sejam, dia susukan bayinya dan tiba-tiba anaknya sukar bernafas.
“Si kecil itu dimasukkan segera ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk proses bantuan pernafasan (CPR) kerana oksigen menurun dengan teruk,” katanya.
Lebih menyedihkan, bayi tersebut tidak dapat diselamatkan dan hasil pemeriksaan mendapati anak kecilnya itu dijangkiti kuman GBS.
Jelasnya, berkemungkinan wanita berkenaan yang baru sahaja bersalin secara normal tidak mengetahui dirinya merupakan pembawa kepada bakteria GBS.
Menjengah ke ruangan komen, ramai golongan wanita turut berkongsi pengalaman mereka ketika bayi yang dilahirkan dijangkiti masalah tersebut serta turut menasihatkan kepada orang ramai untuk peka dengan simptom tertentu kepada kuman GBS berkenaan. – KOSMO! ONLINE