HARARE, Zimbabwe – Beberapa gambar yang disiarkan menunjukkan jejak didakwa ditinggalkan oleh objek terbang tidak dikenali (UFO) di sebuah padang sekolah dalam penampakan paling terkenal pada 1994 di Zimbabwe, lapor portal berita MailOnline semalam.
Puluhan kanak-kanak dari sebuah kelas di Sekolah Ariel, bandar Ruwa menarik perhatian media hampir 30 tahun lalu selepas mengatakan, mereka melihat kapal angkasa berbentuk cakera mendarat di sebuah padang di belakang taman permainan sekolah pada September 1994.
Ada yang mengatakan melihat makhluk asing seakan manusia keluar daripada kapal itu dan berkomunikasi dengan mereka.
Seorang pakar psikiatri dari Universiti Harvard kemudian menemu bual 62 kanak-kanak itu dan membuat kesimpulan bahawa mereka bercakap benar.
Mereka yang kini dewasa masih berpegang kepada cerita tersebut setelah beberapa dekad menyaksikannya.
Gambar-gambar itu dikongsikan dalam dokumentari bertajuk Ariel Phenomenon mengenai kejadian yang mengejutkan itu.
Insiden tersebut adalah antara yang paling berharga dalam kalangan penyelidik. Mereka mengatakan bahawa disebabkan jumlah saksi, lukisan menarik yang dikatakan kapal angkasa dan makhluk yang dilukis pada hari yang sama menjadikan cerita itu sangat menarik.
Satu elemen yang kurang dalam kes luar biasa itu adalah bukti fizikal bahawa sesuatu telah mendarat di halaman sekolah tersebut pada pagi itu.
Seorang jurugambar, Gunter Hofer ialah antara yang pertama yang mendokumentasikan apa yang berlaku di tempat kejadian.
“Beberapa kanak-kanak berkata melihat kapal angkasa di lokasi berasingan di padang itu di mana saya menemukan kesan di atas rumput.
“Saya dapati dua kesan berbentuk bujur dengan berlainan saiz. Saya juga melihat kesan di atas tanah, sesuatu telah menekannya,’’ katanya. – Agensi