QUANG NINH – Hasrat Filipina untuk melangkah ke pentas final acara bola sepak wanita buat kali pertama dalam sejarah penganjuran Sukan SEA sejak 1985 tidak kesampaian.
Biarpun mempertaruhkan 10 pemain yang berpangkalan di luar negara, namun ia masih gagal membantu Filipina apabila tewas 0-3 kepada Thailand pada separuh akhir di Stadium Cam Pha kelmarin.
Sebaliknya, Thailand boleh tersenyum apabila mereka cuma selangkah lagi untuk merampas semula pingat emas milik mereka selepas dua edisi terdahulu tewas di pentas final kepada Vietnam.
Penjaring terbanyak kejohanan, Taneekarn Dangda yang kini sudah mengumpul empat gol, gembira dengan kejayaan mereka menumpaskan Filipina yang ketika ini dianggap sebagai kuasa baharu bola sepak wanita Asia.
“Amat gembira dengan kejayaan ini kerana kami sekali lagi melangkah ke final. Ia bukan satu perlawanan yang mudah tetap kami dapat melakukannya.
“Kini kami cuma tinggal satu perlawanan lagi untuk menamatkan Sukan SEA. Sudah tentu kami berharap untuk mengakhirinya dengan pingat emas,” katanya.
Adik kepada penyerang sensasi Thailand, Teerasil Dangda itu berjaya meledak satu gol buat skuad Gajah Perang itu pada minit ke-47.
Dua lagi gol skuad bimbingan Miyo Okamoto itu dijaringkan oleh Silawan Intamee dan Ploychompoo Somnonk masing-masing pada minit ke-22 serta 90+1.
Juara lima kali itu akan berdepan seteru utama, Vietnam di perlawanan akhir pada 21 Mei ini selepas tuan rumah menewaskan Myanmar 1-0 kelmarin. – AGENSI