fbpx

‘Sukar keluarkan mayat, kereta remuk dihentam treler’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN kereta Honda City yang remuk teruk akibat hentaman treler dalam kemalangan di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara pada 12 Mei lalu.

KUALA KANGSAR – Pasukan bomba mengimbas kembali detik kesukaran mengeluarkan mayat lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang terlibat kemalangan pada 12 Mei lalu apabila kereta mangsa perlu diregangkan seperti tarik ‘tin kemek’.

Keadaan itu berlaku apabila hentaman kenderaan berat muatan besi pagar itu menyebabkan kereta Honda City dinaiki lima sahabat itu remuk teruk dan perlu direnggangkan bagi menge­luarkan mangsa.

Kemalangan tragis di Kilo­meter 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini pada 12 Mei lalu telah menyebabkan lima mangsa dalam kereta Honda City terhimpit akibat hentaman kuat treler dari belakang.

AHMAD IZUWAN

Menceritakan insiden tragis itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Ahmad Izuwan Zakaria berkata, setibanya di lokasi kejadian didapati terdapat kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan dengan dua daripada sedang terbakar.

“Semasa tiba di lokasi, orang awam ada maklumkan di dalam kereta itu terdapat mangsa terperangkap, namun tidak me­ngetahui jumlah sebenar mereka.

“Selepas api berjaya dipadamkan, kami terkejut apabila mendapati terdapat lima mangsa rentung dan keadaan mereka sangat menyayat hati.

“Keadaan beberapa mayat yang melekap di bahagian belakang kerusi pemandu dan penumpang hadapan menyukarkan anggota mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, anggota terpaksa merenggangkan ken­deraan itu bagi mengeluarkan mangsa satu persatu selepas api berjaya dikawal dalam tempoh 11 minit.

Katanya, ketika jentera tiba di lokasi, kereta mangsa dan treler muatan besi pagar itu terbakar kira-kira 90 peratus, manakala treler muatan mozek pula 20 pe­ratus terbakar.

Tambah beliau, tindakan pantas anggota berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh singkat selain mengelak letupan yang mungkin berlaku.

“Selain faktor keadaan mayat, kesulitan utama yang dialami oleh bomba ialah dari segi ke­sesakan yang melambatkan usaha jentera tiba awal di lokasi nahas selain kekurangan sumber air terbuka dan tiada pili bomba di kawasan kejadian,” katanya.

Mangsa yang maut adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI