KEMAMAN – Percutian suami isteri di Pantai Penunjuk, Kijal di sini berakhir dengan tragedi apabila mereka dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai peranginan tersebut hari ini.
Kedua-dua mangsa, Ahmad Qarib Ab. Kadir, 60, dan isterinya, Rokiah Abd. Rahman, 59, yang bercuti bersama empat anak mereka berusia 16 hingga 24 tahun dipercayai dibawa arus deras sewaktu mandi berdua di pantai tersebut pada pukul 4 pagi.
Anak mangsa, Muhammad Usaamah,19, berkata, sebelum kejadian ibu bapanya memaklumkan keinginan mereka untuk mandi laut di Pantai Penunjuk yang terletak 4 meter dari tempat penginapan mereka pada awal pagi kepada dia dan adik-beradiknya.
“Mereka memaklumkan kepada kami sebelum masuk tidur. Sebaik kami adik-beradik bangun tidur pada pukul 5 pagi, mereka sudah tiada di bilik penginapan.
“Saya cemas apabila cuma menemui selipar dan tikar di tepi pantai tetapi tiada kelibat ibu bapa kami,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Muhammad Usaamah berkata, mereka cuba mencari ibu bapa di sekitar Pantai Penunjuk tetapi gagal sebelum memaklumkan kehilangan itu kepada pihak berkuasa.
Dia memberitahu, iba bapa merupakan tenaga pengajar sebuah madrasah di Kampung Pangsenam, Temerloh, Pahang dan memang gemar mandi pantai pada sebelum waktu subuh.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kijal Mohamad Adri Mat Harun berkata, pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadia sebelum melancarkan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 5.43 pagi. – KOSMO! ONLINE