HANOI – Skuad gimnastik berirama negara turut melakukan kejutan apabila menyumbang pingat di Sukan SEA Vietnam selepas mengungguli acara all-around individu di Pusat Gimnasium Quan Ngua, Hanoi, semalam.
Gimnas negara iaitu Koi Sie Yan yang memenangi emas selepas mengumpul markah keseluruhan 109.100 mata. Kejayaan turut dijelmakan Ng Joe Ee yang mengumpul 104.600 untuk perak, manakala gangsa menjadi milik atlet Filipina Breanna Labadan (96.650).
Bagi Sie Yan, 23, kemenangan ini menambah koleksi emas ketujuhnya sejak penampilan pertama di Sukan SEA Singapura 2015 biarpun turun dengan sedikit tekanan.
“Saya sudah berjanji mahu mempertahankan emas di sini sebelum datang ke sini dan ia berjaya dilakukan untuk menang emas buat Malaysia.
“Ini penampilan keempat saya di Sukan SEA dan sebaik sahaja tamat acara terakhir riben, saya berasa sangat lega seperti hilang bebanan.
“Gimnas muda memberi saingan sengit, tetapi saya gembira dapat menang emas sekali lagi kali ini,” katanya sejurus tamat acara berkenaan.
Acara all-around menyaksikan empat disiplin dipertandingkan iaitu gelung, bola, belantan dan riben dengan tiga markah terbaik diambil kira untuk permarkahan keseluruhan.
Bagi acara gelung, gimnas senior itu berjaya mencatat 25.250, bola (29.850), belantan (27.400) dan riben (26.600), manakala Joe Ee mencatat 26.450 bagi gelung), bola (25.450), belantan (26.400) dan riben (26.600).