IPOH – Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menyerbu sebuah rumah di Taman Cempaka di sini yang dijadikan stor menyimpan barangan tiruan berjenama terkenal semalam.
Serbuan pada pukul 12 pagi itu hasil maklumat risikan dengan kerjasama wakil dan syarikat cap dagang.
Pengarahnya, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an mengaku sebagai pemilik premis dan telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Katanya, pemeriksaan menemui 1,147 helai pakaian iaitu seluar dan beg berjenama terkenal pelbagai saiz dan warna dianggarkan bernilai RM34,410.
“Kesemua barang yang disita tersebut disimpan di stor ekshibit KPDNHEP Perak untuk siasatan lanjut.
“Lelaki tersebut telah ditahan sementara untuk membantu siasatan dan dilepaskan dengan jaminan polis setelah keterangannya diambil,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu memiliki, menjaga atau dalam kawalannya bagi maksud perdagangan apa-apa barang dengan cap dagangan berdaftar. – KOSMO! ONLINE