BANDAR RAYA NEW YORK – Peguam bela aktor Johnny Depp mendedahkan punca sebenar mengapa lelaki itu tidak pernah memandang tepat ke arah bekas isterinya, Amber Heard sepanjang perbicaraan saman fitnah mereka berlangsung.
Menurut portal berita MailOnline, Depp sekadar mengotakan janji pada Heard bahawa wanita itu tidak akan berpeluang lagi menatap matanya selepas perpisahan mereka pada 2016.
Peguam Depp, Camille Vasquez bertanya kepada Heard adakah pelakon itu menyedari bahawa Depp tidak pernah memandangnya sepanjang perbicaraan.
“Ya, saya menyedari situasi itu,” jawab Heard.
“Namun anda sering cuba melontarkan pandangan ke arahnya, adakah ia benar?”, tanya Vasquez.
Heard mengangguk tanda setuju.
Vasquez kemudiannya bertanya adakah Heard mengetahui punca Depp tidak memandangnya dan ia dinafikan oleh wanita itu.
Peguam Depp memainkan satu rakaman audio yang memperdengarkan perbualan antara Depp dan Heard semasa berada dalam sebuah bilik hotel ketika 2016.
Ia diambil selepas Heard memfailkan perceraian dan mendapat perintah sekatan terhadap bintang Pirates of the Caribbean itu.
Dalam rakaman itu, Heard cuba memeluk lelaki itu tetapi ditolak oleh Depp.
“Tolonglah, saya hanya mahu memeluk awak dan mengucapkan selamat tinggal,” kedengaran suara Heard merayu.
Depp kemudian kedengaran berkata:“Saya bukan apa-apa kepada kamu, dan saya akan sentiasa tidak menjadi apa-apa kepada kamu. Kamu tidak akan dapat menatap mata saya lagi selepas ini”.
Heard kelihatan tergamam dan bintang Aquaman itu hanya mampu mendiamkan diri.
Dalam masa sama, Heard juga mengakui gagal membayar derma AS$3.5 juta (RM15.3 juta) yang dijanjikannya kepada Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika selepas mendakwa telah membuat sumbangan itu.
Heard berkata, tindakan Depp menyamannya telah menghalang dia daripada memenuhi janji untuk mendermakan keseluruhan penyelesaian perceraiannya bernilai AS$7 juta (RM30 juta).
“Saya berniat sepenuhnya untuk memenuhi semua janji derma saya sekiranya Johnny berhenti menyaman saya,” tegas Heard. – Agensi